UMNO Muar Pilih Pendidikan Sebagai Program Kebajikan Ubah Kehidupan Rakyat

UMNO Muar Pilih Pendidikan Sebagai Program Kebajikan Ubah Kehidupan Rakyat

MUAR, 2 Jun — UMNO Bahagian Muar memilih soal pendidikan sebagai perkara yang boleh diterjemahkan sebagai satu bentuk kebajikan kerana ia mampu mengubah kehidupan masyarakat ke tahap lebih baik.

Ketua UMNO Bahagian Muar merangkap Anggota Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata perkara itu harus diberi penekanan bagi memastikan nasib rakyat akan terus terbela.

“Kita biasa dengar kebajikan dikaitkan dengan bencana, kesusahan dan orang sakit, namun kurang memberi penekanan kepada soal kebajikan pendidikan yang mampu melimpah kebaikan kepada jumlah rakyat yang lebih ramai,” ujarnya selepas merasmikan Program UMNO Membantu Rakyat dan Program Lonjakan Prestasi Akademik di Bangunan UMNO Muar baru-baru ini.

Razali berkata pada program tersebut, Biro Kebajikan UMNO menyumbang sebahagian kepada usaha kebajikan pendidikan itu yang melibatkan 52 buah sekolah dan 15,202 pelajar.

“Kita akan memberi penekanan kepada pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Lima bagi mengekalkan pencapaian keputusan SPM dan UPSR Parlimem Muar yang menduduki tangga ke-10 terbaik peringkat kebangsaan dan tiga terbaik di Johor,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Johor adalah negeri ke-11 dalam siri program UMNO membantu rakyat itu, dan di negeri berkenaan mereka berkunjung ke dua tempat di Gelang Patah dan Muar.

Beliau berkata di Johor sahaja, UMNO memberi sumbangan kepada 12,679 penerima yang disalurkan menerusi Bahagian UMNO masing-masing dalam siri pertama membantu rakyat itu yang melibatkan RM1.9 juta bagi seluruh negara.

“Bantuan kepada rakyat bukan hanya kepada barangan berupa makanan yang diberi secara ‘one-off’ tetapi kita juga melihat kaedah lain yang boleh membantu mengubah kehidupan rakyat seperti kebajikan dalam bentuk pendidikan kepada masyarakat.

“Sudah pasti apabila tahap pendidikan meningkat akan mengubah corak kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata program itu juga dianjurkan bagi memberi pemahaman kepada rakyat bahawa UMNO membantu rakyat dalam pelbagai cara sama ada secara terus menerusi parti, di samping menyalurkan sumbangan kebajikan menerusi agensi-agensi kerajaan berkaitan.

 

Leave a Reply