Pemuda UMNO Tebrau Bantu 500 Penduduk Kurang Berkemampuan

Pemuda UMNO Tebrau Bantu 500 Penduduk Kurang Berkemampuan

JOHOR BAHRU, 27 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau hari ini menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada 500 individu kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka.

Ketuanya, Datuk Syahrin Jamaluddin berkata bantuan itu merupakan program tahunan bagi membantu golongan ibu tunggal, warga emas dan anak yatim ketika Ramadan.

“Kita memperuntukkan kira-kira RM50,000 setiap tahun untuk membeli barangan keperluan asas yang kemudian disalurkan kepada mereka untuk berbuka puasa dan bersahur.

“Kita juga bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah turut berkunjung ke kediaman mereka bagi melihat sendiri persiapan dan keperluan mereka untuk menyambut Aidilfitri,” katanya ditemui pada majlis perasmian Program Ziarah Ramadan ke-13 di Balai Islam Kampung Maju Jaya di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Yayasan Perdana Ummah, Datuk Rizal Mansor.

Syahrin berkata permohonan bantuan pada setiap tahun meningkat, tetapi ia terpaksa dihadkan berikutan jumlah peruntukan yang tidak mencukupi.

“Kapasiti (bantuan) Pemuda UMNO bahagian hanya 500 orang dan serahkan kepada UMNO bahagian dan pergerakan lain jika lebih daripada jumlah itu.

“Penerima ini disenaraikan oleh ahli UMNO di peringkat akar umbi yang menjadi telinga dan mata kita. Mereka memang hidup dalam serba kekurangan dan turut menerima bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (MAIJ),” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Rohaniah Subari, 73, berkata dia bersyukur menerima bantuan barangan keperluan asas itu yang sedikit sebanyak dapat membantu kehidupannya sekarang.

“Kadang-kala anak ada beri duit untuk beli barang dan ubat, tetapi saya tidak mahu bergantung kepada mereka kerana sudah berkeluarga,” katanya.

Bagi Bakinem Waghimin, 68, pula dia berterima kasih kepada Pemuda UMNO bahagian atas bantuan berkenaan kerana dia kini hidup keseorangan selepas anaknya menetap jauh selepas berkeluarga.

Selain kampung terbabit, Pemuda UMNO bahagian ini juga akan menziarahi kawasan Felda Ulu Tebrau; Bandar Ulu Tiram Barat; Bandar Ulu Tiram Timur; Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ara Cemerlang, PDM Desa Jaya; PDM Pelangi Jaya; PDM Puteri Wangsa; PDM Bukita Jaya; PDM Sungai Tiram, PDM Kong Kong dan PDM Cahaya Masai. BERNAMA

Leave a Reply