Kerajaan Johor Kaji Pelan Rasionalisasi Buruh

Kerajaan Johor Kaji Pelan Rasionalisasi Buruh

ISKANDAR PUTERI, 25 Mei — Kerajaan negeri sedang menjalankan kajian Pelan Rasionalisasi Buruh bertujuan mengkaji keperluan sebenar pekerja asing di negeri ini sebelum dibentangkan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri R. Vidyananthan berkata pelan itu juga bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing serta mengatasi masalah kebanjiran buruh asing.

Katanya,pelan itu akan menjadi dasar kerajaan negeri dan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dapat ditawarkan kepada pekerja tempatan.

“Kita telah memulakan kajian dengan dua makmal dilaksanakan yang mana kita memanggil agensi-agensi kerajaan, pihak-pihak berkepentingan serta peserta industri di negeri ini.

Kita lihat sekarang ini banyak pengambilan pekerja asing dalam sektor pembuatan yang kita akan hadkan dan kita akan senarai pendekkan industri yang hanya boleh mengambil pekerja tempatan,” kata beliau selepas melancarkan Program Masyarakat India Berkemahiran di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Unit Swadaya Insan Negeri Datuk Jaafar Mohamad dan Pengarah Urusan Pusat Pembangunan Tenaga Industri Johor Ja’apar Samat.

Vidyananthan berkata menerusi pelan itu, pihak majikan harus memberi insentif sepatutnya bagi menarik pekerja tempatan bekerja di negeri ini.

Menurut beliau, pihak majikan harus bersama-sama menjayakan pelan itu dengan memberi tawaran gaji yang bersesuaian dan setimpal selain kemudahan dan kebajikan pekerja.

“Kita tidak mahu melakukan tindakan terburu-buru, pelan itu kita akan pastikan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri, majikan dan pekerja,” katanya.

Leave a Reply