Tukar Mentaliti Masyarakat Muda Cina

Tukar Mentaliti Masyarakat Muda Cina

Oleh: Nuh Ikhwan

MUAR, 25 Mei : Biar masyarakat Cina tempatan jadi ajen Barisan Nasional (BN) untuk mempengaruhi sanak-saudara yang tinggal di luar kawasan untuk mengundi parti kerajaan.

Demikian menurut Timbalan Ketua Bahagian UMNO Muar Datuk Ashari Md Sarip yang berkata masyarakat Cina setempat masih lagi setia bersama BN.

“Pengundi Cina dalam kawasan mereka tahu apa yang telah kita buat untuk rakyat tapi mereka ini dipengaruh oleh anak-anak dan saudar-mara yang tidak tinggal dalam kawasan pun.

“Golongan ibu-bapa ini faham yang mereka membesarkan anak-anak mereka dengan bantuan BN.

“Tapi bila sampai golongan anak-anak, mereka cakap ‘ini kali-lah’,” kata Ashari, merujuk kepada slogan yang dipopularkan oleh DAP.

Beliau berkata kerana itulah perkara ini mesti ditukar supaya mentaliti golongan muda dapat diubah dan melihat parti manakah yang banyak membantu rakyat selama ini.

Sementara itu, Ashari berkata pemilihan calon yang tidak popular di mata rakat akan menjadi punca utama kekalahan dalam pilihan raya.

Menurutnya, walaupun masih terdapat rungutan dari segelintir ahli tentang 1MDB dan GST, namun kebanyakan ahli sudah memahami isu-isu ini.

“Cuma apa yang mereka fikir sekarang ialah sapa calon kerana inilah wakil yang akan bawa suara mereka. Mereka fokus kepada personaliti calon, siapa dia, itu yang penting bagi mereka.

“Ini keutamaan mereka dan selepas PRU barulah mereka akan berjumpa wakil mereka tadi untuk rungkaikan persoalan 1MDB, GST dan lain-lain. Kami dah sokong kau, jadi selesaikan masalah kami.”

Beliau turut berkata bahawa ketika beliau turun melawat DUN Maharani, masyarakat setempat tidak menyuarakan isu 1MDB dan GST yang sering dimomokkan oleh pembangkang.

“Mereka bertanyakan soal kenapa longkang depan rumah tak diselenggara. Sampai saya soal bila mereka buat laporan. Orang setempat kata dah dua penggal laporan dibuat.

“Inilah masalahnya bila BN dah dua penggal tak menang di DUN. Masalah-masalah setempat tidak dilaporkan untuk tindakan pihak berwajib. Kerana perkara ini tidak dibawa keatas.”

Ashari turun menekankan kepentingan calon yang tinggal dalam kawasan yang ditandingi supaya mudah didekati pengundi.

“Dan carilah calon dari mereka yang duduk di kawasan setempat supaya mudah untuk rakyat datang dan bambu.

“Ini bila mereka takda ruang dan peluang bambu wakil rakyat, mereka akan kalahkan kita di kertas undi.”

Leave a Reply