Muhyiddin Harap Legasi Abang Untuk Bertanding Di Muar?

Muhyiddin Harap Legasi Abang Untuk Bertanding Di Muar?

Muhyiddin harap legasi abang untuk bertanding di Muar?

Nuh Ikhwan

Ura-ura bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal bertanding di Parlimen Muar sudah kedengaran sejak tahun lalu lagi.

Ahli Parlimen Pagoh selama lima penggal ini bukanlah orang asing di Muar, malah abang sulungnya sendiri Tan Sri Abdul Aziz Yassin merupakan bekas wakil rakyat Muar pada tahun 90an.

“Muar ini pernah diterajui oleh Tan Sri Aziz sebagai ketua bahagian (Umno) dan sebagai ahli parlimen.

“Tak dapat dinafikan ada (masyarakat) disini yang masih fanatik dengan legasi Tan Sri Aziz.

“Ada yang berikan sokongan secara senyap-senyap tapi ada juga yang secara terang-terangan,” kata Timbalan Ketua Bahagian Umno Muar Datuk Ashari Md Sarip.

Ashari yang juga merupakan ahli Majlis Perbandaran Muar (MPM) berkata terdapat beberapa indikator yang menunjukkan Muhyiddin akan bertanding di Muar.

Ini termasuklah Muhyiddin dan isterinya masih kekal sebagai pengundi dalam kawasan Muar dimana mereka berdua mengundi di DUN Maharani.

“Saya juga tidak rasa Muhyiddin akan berlawan dengan Ismail (Mohamed) yang menjadi (pemangku) Ketua Bahagian UMNO Pagoh ketika ini. Ismail ni dahulu pengikut dia.” ujar Ashari lagi.

Mengulas mengenai sambutan masyarakat setempat terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), Ashari berkata lebih ramai orang luar yang memenuhi program-program parti tersebut di Muar berbanding masyarakat setempat.

“Masyarakat tempatan tak ramai, mereka masih percayakan UMNO dan BN untuk bela nasib anak bangsa dan negara.”

Beliau turut berkata hanya segelintir ahli UMNO yang keluar parti secara terang-terangan yang telah dikesan oleh parti. Namun beliau tidak menolak kemungkinan terdapat golongan yang keluar secara senyap.

“Kalau protes secara senyap kita tak tahulah kerana kita tak dapat baca hati orang.

“Cuma yang saya bimbang bukan dari penyokong UMNO. Orang yang saya bimbang adalah orang yang tak suka BN dan tak sukakan PAS. Golongan ini saya bimbang.”

Sementara itu, Ashari juga berkata terdapat kemungkinan parti-parti pembangkang akan berebut kerusi di Muar.

“PKR mahukan kerusi parimen kerana ini kerusi tradisi mereka. PAN (Parti Amanah Negara) pula mahukan kerusi Maharani yang disandang PAS.”

Dalam PRU13, Datuk Razali Ibrahim, yang juga Ketua Bahagian UMNO Muar mempertahankan kerusi tersebut dengan 1,646 majoriti undi menewaskan calon PKR.

Leave a Reply