Shahrir Perlu Pertimbang Bertanding: UMNO Johor

Shahrir Perlu Pertimbang Bertanding: UMNO Johor

JOHOR BAHRU: Badan Perhubungan UMNO Johor menyambut baik pendirian Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang menegaskan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Setiausahanya, Datuk Md Jais Sarday, berkata Shahrir adalah pemimpin dan tokoh politik yang amat berpengalaman dalam UMNO dan pucuk pimpinan parti di peringkat menghormati keputusan itu.

Katanya, bagaimanapun sama ada Shahrir akan dicalonkan pada PRU14 akan datang keputusan itu hanya ditentukan pucuk pimpinan tertinggi UMNO. “Jika pucuk pimpinan tertinggi melihat khidmat atau kepemimpinan Tan Sri Shahrir masih diperlukan, beliau kena pertimbangkan hasrat (tidak bertanding) itu.

“Ia adalah bagi menjaga kelangsungan parti di tambah pula pada masa ini UMNO memerlukan banyak idea dan sentuhan terutama daripada individu seperti Tan Sri Shahrir bagi berdepan gelombang pilihan raya,” ujarnya kepada akhbar Berita Harian baru-baru ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menegaskan tidak akan bertanding pada PRU14 akan datang dan yakin kepada pelapis dalam kalangan UMNO di bahagiannya.

Beliau yang juga Pengerusi FELDA, yakin pengundi di bandar raya itu membuat penilaian, pertimbangan dan pendekatan ke depan dengan tidak mengundi hanya kerana nama besar dalam politik.

 

Leave a Reply