Dewan Johor: Johor Perkenal Enam Langkah Tingkatkan Kualiti Pendidikan

Dewan Johor: Johor Perkenal Enam Langkah Tingkatkan Kualiti Pendidikan

KOTA ISKANDAR, 14 Mei — Enam langkah jangka panjang dirangka bagi menaik taraf kualiti pendidikan di negeri ini, kata anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata langkah itu antaranya meningkatkan kebolehupayaan guru dan pentadbir pihak sekolah untuk Pembelajaran Alaf ke-21 (PAK21).

Menurutnya, jika tahun lepas, sebanyak 55 sekolah rendah dan 55 sekolah menengah mengikuti usaha itu yang membabitkan penilaian 6,000 guru, tahun ini pula, kerajaan negeri mahu memastikan sekurang-kurangnya dua sekolah menengah dan lima sekolah rendah di setiap Parlimen akan terlibat secara langsung ke arah pembelajaran berkenaan.

Menerusinya, seramai 15,000 guru akan dinilai dengan mereka mesti mempunyai gred 85 peratus taraf penilaian.

“Semua ini dilakukan bagi membolehkan para pelajar bangsa Johor akan lebih kreatif dan berinovatif dalam kaedah pembelajaran mereka dan sentiasa memberikan penilaian Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT) supatya mereka boleh bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya menggulung porfolio Jawatankuasa Pendidikan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 di sini Ahad.

Ayub berkata kerajaan negeri juga bersetuju memperhebatkan lagi usaha melatih 1,100 guru dalam Sains, Teknologi dan Matematik Johor (STEM-J) bagi membolehkan Johor mencapai matlamat nisbah 60:40 bagi pelajar Sains berbanding Sastera.

Langkah-langkah lain adalah membantu Jabatan Pendidikan negeri mempersiapkan lebih 1,200 pelajar setiap tahun yang menguasai Bahasa Inggeris bagi persiapan ke arah Johor sebagai kuasa ekonomi baharu pada masa depan selain melaksanakan Karektor Murid Johor (KrMJ) yang bakal melahirkan pelajar berindentiti fizikal, tinggi kerohanian dan mempunyai sikap positif dalam melawan fitnah. -Bernama

Leave a Reply