Lawatan Kerja Ke Parlimen Bukan Gimik Politik – MB Johor

Lawatan Kerja Ke Parlimen Bukan Gimik Politik – MB Johor

ISKANDAR PUTERI, 9 Mei — Siri lawatan kerja kepimpinan kerajaan negeri Johor ke setiap kawasan parlimen di negeri ini bukan gimik politik atau ‘gula-gula’ bagi meraih populariti rakyat, kata Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Lawatan itu sebaliknya mempunyai kepentingan dan objektif tersendiri, katanya.

“Melalui lawatan berkenaan, kerajaan negeri dan saya sendiri berpeluang melakukan beberapa perkara penting dengan lebih berkesan.

“Lawatan ini membuka ruang untuk kami memantau sendiri perkembangan bagi segala agenda pembangunan, projek serta program prorakyat yang sedang atau bakal dilaksanakan di sesuatu (kawasan) parlimen,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor  di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaimi Salleh (BN-Kukup) yang ingin tahu adakah lawatan itu memberikan signifikan kepada rakyat atau sekadar meraih populariti memandangkan ia dipertikai individu-individu tidak bertanggungjawab.

Mohamed Khaled berpuas hati terhadap lawatan kerja terbabit yang bermula 3 Jan lepas di kawasan Parlimen Johor Baharu dan dalam tempoh empat bulan ini beliau sudah turun padang ke 22 daripada 26 kawasan parlimen di seluruh Johor.

Menurutnya secara keseluruhannya, siri lawatan berkenaan melibatkan pengumuman pelbagai inisiatif bagi memenuhi keperluan dan kepentingan sesuatu kawasan parlimen termasuk pembinaan dan menaik taraf jalan, pembinaan sekolah agama dan dewan.

“Siri lawatan ini melibatkan kira-kira RM1.4 bilion nilai projek yang akan dan sedang dibangunkan dan diperuntukkan melalui kerajaan negeri, pusat, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Saya yakin tidak ada satu pun daripada kesemua projek ini tidak bersifat prorakyat sebaliknya setiap satunya mempunyai kepentingan dan keperluan tersendiri,” katanya.

Mohamed Khaled sehubungan itu, berharap semua pihak dapat mengurangkan rasa prejudis yang tidak berasas bagi setiap program dan tindakan yang dilakukan kerajaan negeri sekali gus bersama-sama membantu agenda yang mendatangkan manfaat kepada rakyat Johor. -Bernama

Leave a Reply