Kerajaan Diminta Bina Lebih Banyak Premis Perniagaan Mampu Milik Di Pengerang

Kerajaan Diminta Bina Lebih Banyak Premis Perniagaan Mampu Milik Di Pengerang

ISKANDAR PUTERI, 9 Mei — Kerajaan diminta membina lebih banyak premis perniagaan mampu milik di kawasan Pengerang dekat Kota Tinggi bagi membolehkan masyarakat setempat menerima manfaat projek mega yang sedang dibangunkan di kawasan tersebut.

Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Surat, Datuk Syed Sis Abd Rahman berkata ini kerana premis perniagaan sedia ada mengenakan kadar sewa yang tinggi sehingga membebankan peniaga kecil.

“Saya dapati terdapat rumah kedai di sekitar Pengerang yang mengenakan kadar sewaan antara RM6,000 dan RM7,000.

“Sehubungan itu, saya minta agensi kerajaan membina premis mampu milik atau mampu sewa untuk peniaga ini bagi mengelakkan mereka ketinggalan,” katanya.

Syed Sis berkata demikian pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata  Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor (JPDC) dan Petronas sudah mengadakan pertemuan dengan masyarakat di sekitar Pengerang supaya bersedia menghadapi zaman pasca pembinaan.

“Perjumpaan diadakan Mac lepas dan antaranya masyarakat tempatan disaran merebut peluang sebagai kontraktor, pembekal dan sebagainya,” katanya.

Menurut Syed Sis, Pengerang sedang melalui proses pembangunan yang sangat pesat disebabkan wujudnya projek mega Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di kawasan itu yang kini mencapai kemajuan 60 peratus pembinaan.

Beliau berkata pelaburan syarikat petroleum Arab Saudi, Saudi Aramco di Rapid juga meletakkan Pengerang di mata dunia yang menjadi lokasi pelaburan yang strategik.

Sementara itu, Syed Sis turut menggesa pihak berwajib supaya menyelenggara jalan raya ke Pengerang memandangkan laluan utama menuju ke kawasan berkenaan tidak begitu baik.

Antara lokasi terlibat adalah Lebuhraya Senai-Desaru yang melibatkan jalan dari jambatan sehingga ke simpang empat Bandar Penawar, katanya. -Bernama

Leave a Reply