Usaha Dilakukan Untuk Penuhi Keperluan Semasa Jalan Raya – @PetraJayaMP

Pelbagai Usaha  Dilakukan Untuk Penuhi Keperluan Semasa Jalan Raya

 

BATU PAHAT, 10 MEI – Setelah mengkaji punca-punca banjir , Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihak  kerajaan akan mencari jalan menangani masalah air pasang besar di daerah ini dan Muar kerana sering mengakibatkan banjir kilat kesan daripada ‘air termenung’.

 

Mekanisme akan dibincangkan sebelum peruntukan khas disalurkan bagi mengatasi masalah di kedua-dua daerah bersebelahan itu yang kedudukannya hampir dengan laut.

 

“Mungkin kita perlu buat ben­teng. Sekiranya parit baharu dibuat untuk mengalirkan air termenung keluar, bagi mengatasi masalah banjir akibat daripada air pasang laut, masalah ini tidak akan selesai.

 

“Ini kerana permukaan tanah di Batu Pahat dan Muar adalah rendah serta rata yang sama paras dengan air laut. Apabila air pasang besar berlaku air termenung yang kadang-kadang sampai dua minggu lama­nya,” katanya

 

Beliau juga berkata pertambahan pengguna jalan raya di daerah ini, termasuk yang menggunakan Jalan Peserai telah menyebabkan jalan itu semakin sesak terutama yang melalui Jambatan Parit Keliling, yang dibina puluhan tahun lalu.

 

“Oleh itu, pihak kementerian telah meluluskan untuk menaik taraf jambatan sedia ada di sini dengan jambatan baharu untuk keselesaan pengguna, yang sebelum ini terganggu ketika waktu puncak dan musim perayaan.

 

“Pelaksanaan projek naik taraf ini yang berhampiran Sungai Parit Keliling merupakan satu projek naik taraf menggantikan jambatan sedia ada yang sudah tidak lagi sesuai serta tidak mampu menampung trafik yang semakin banyak.

 

“Penggantian jambatan ini melibatkan kos sebanyak RM7.68 juta yang dimulakan pada 13 Januari 2016 dan dijangka siap pada 13 Jun 2017 ,” katanya.

 

Beliau berkata sedemikian semasa lawatan kerja melihat kerja-kerja pembinaan dan naik taraf Jambatan Parit Keliling yang dimuatkan dalam program Jelajah FT Roadpedia Zon Selatan, Kementerian Kerja Raya.

 

 

Leave a Reply