Johor Peruntuk RM500,000 Wujud Pusat Jaya Diri Bantu Wanita

ISKANDAR PUTERI, 9 Mei — Kerajaan Johor memperuntukkan RM500,000, tahun ini untuk mewujudkan Pusat Jaya Diri sebagai usaha membantu golongan wanita berpendapatan rendah mendapat kemahiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff berkata Pusat Jaya Diri tersebut diwujudkan di lima daerah iaitu Johor Bahru, Segamat, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi.

“Pusat Jaya Diri dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim yang bertujuan membantu wanita golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal berpendapatan kurang RM1,000 sebulan menjana pendapatan mereka,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Zaini Abu Bakar (BN-Nusajaya) yang bertanyakan bantuan kerajaan negeri khusus untuk ibu tunggal yang minat berniaga.

Asiah berkata menerusi Pusat Jaya Diri, mereka yang terlibat diberikan latihan kemahiran secara fokus terutama bidang kraf tangan, jahitan dan bakeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata sektor pelancongan negeri ini berkembang pesat beberapa tahun ini apabila ramai pelancong domestik dan antarabangsa memilih negeri ini sebagai destinasi percutian.

Tee berkata berdasarkan statistik Tourism Malaysia, jumlah pelancong yang bermalam dan berbelanja di negeri ini meningkat daripada 3.9 juta orang pada 2012 kepada 6.95 juta orang pada 2015.

“Konsep Muafakat Johor yang sering didukung juga merupakan salah satu tarikan pelancongan kerana menimbulkan rasa ingin tahu pelancong terhadap identiti Bangsa Johor dan kestabilan masyarakat.

“Ciri-ciri ini merupakan kekuatan pemasaran kerajaan negeri dalam mempromosikan keunikan negeri ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) mengenai usaha yang diambil kerajaan negeri dalam meningkatkan bilangan pelancong ke negeri ini.

Menurut Tee, kerajaan negeri menerusi Tourism Johor akan terus menggiatkan pemasaran produk sedia ada termasuk mengadakan program padanan perniagaan ke negara-negara berpotensi.

Katanya sepanjang tahun lepas, 10 program Explore Johor juga berjaya diadakan yang membabitkan empat lokasi domestik dan enam lokasi antarabangsa.

Leave a Reply