Bas Muafakat Diminta Tiba Tepat Waktu – @HasniMohammad1

Bas Muafakat Diminta Tiba Tepat Waktu – @HasniMohammad1

PONTIAN, 2 MEI – Syarikat pengendali Bas Muafakat Johor (BMJ) diminta memastikan bas berkenaan tiba tepat pada waktunya bagi memastikan penumpang tidak menunggu lama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, layanan dan perkhidmatan yang baik juga perlu dipertingkatkan sepanjang masa supaya orang ramai selesa dan selamat dalam perjalanan mereka.

“Jika aspek ini dapat diberikan perhatian, semakin ramai orang akan menggunakan BMJ kerana merupakan usaha kerajaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Turut menerima faedah BMJ ialah kawasan Majlis Daerah Pontian (MDP) dengan dua buah bas memulakan operasi mereka di Terminal Pengangkutan Awam di Pusat Perdagangan Pontian dan Kampung Seri Menanti, Pekan Nanas,” katanya semasa merasmikan Sesi Town Hall siri kedua dan pelancaran BMJ peringkat daerah Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MDP, Kamalludin Jamal; Ke­tua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Abdul Rahman Salleh dan Ketua Whip MDP, Norzita A.Kahar.

Datuk Ir. Hasni yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM565,961 bagi menampung kos menyediakan BMJ tersebut setahun dengan 30 peratus ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berharap orang ramai yang telah mendaftar dan mempunyai kad BMJ tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan menggunakannya bagi urusan seharian.

Leave a Reply