Mana Mungkin UMNO Yang Sedia Kongsi Kuasa Dituduh Parti Rasis – Ayub

Mana Mungkin UMNO Yang Sedia Kongsi Kuasa Dituduh Parti Rasis – Ayub

SEKIJANG, 01 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berpandangan dakwaan kononnya UMNO sebuah parti rasis hanya timbul sejak empat lima tahun kebelakangan ini selepas pembangkang terutama Dap berjaya menggunakan sentimen berkenaan untuk meraih sokongan.

Hakikatnya jelas beliau UMNO telah wujud lebih 70 tahun yang lalu dan menjadi tunjang pada kerajaan hampir 60 tahun dengan rekod baik membawa kemajuan, keharmonian serta keamanan dalam negara yang berbilang kaum ini.

“Jadi tidak timbul perjuangan UMNO hanya untuk Melayu semata-mata atau lebih dahsyat lagi kononnya UMNO perkauman. Kita tidak pernah pinggirkan kaum-kaum lain walaupun jelas perjuangan UMNO berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan, namun dasar yang dibuat adalah secara adil iaitu mengutamakan Melayu dan bumiputera.

“Kita sebagai orang Melayu dan Bumiputera mempunyai  tanggungjawab untuk hidup dengan harmoni bersama bangsa-bangsa lain dalam negara ini dan kita juga mesti menghormati hak-hak bukan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini.

Jelas beliau, sejarah membuktikan bahawa bekas Presiden UMNO yang pertama, Dato’ Onn Jaafar keluar dari UMNO apabila cadangannya agar pintu keahlian UMNO dibuka kepada orang bukan Melayu ditolak.

Ketika itu tambahnya lagi, wawasan dan pandangan tersirat Dato’ Onn tidak dapat dibaca oleh kebanyakan ahli UMNO ketika itu. Justeru, sebahagian besar ahli UMNO waktu itu telah menentang habis-habisan cadangan Dato’ Onn tersebut.

“Kemuncak daripada penentangan tersebut ialah apabila Dato’ Onn mengambil keputusan untuk keluar UMNO. Hakikatnya, Dato’ Onn sama sekali tidak menggadaikan prinsip perjuangannya dan pada masa yang sama tidak mahu memaksa pemimpin dan ahli UMNO ketika itu supaya menerima cadangan beliau.

“Jadi pada saya, tidak timbul persoalan bahawa UMNO merupakan parti rasis kerana UMNO sentiasa memperjuangkan semua kepentingan kaum di negara ini. Sejak dulu lagi UMNO menjalankan konsep berkongsi kuasa dengan semua kaum melalui parti-parti kompenan BN seperti MCA, MIC, Gerakan,PPP dan parti-parti tempatan di Sabah dan Sarawak,” ujarnya lagi.

Tegasnya, mana mungkin parti yang memberi kepada perkongsian kuasa dan bersetuju kepada konsep jus soliboleh bertukar kepada rasis, sebaliknya individu yang menganggap atau menuduh UMNO rasis itulah pewaris yang menerima sikap tolak ansur UMNO selama ini. –UMNOOnline

Leave a Reply