Penyokong #JDT Perlu Tukar Mentaliti – @OfficialJohor

Penyokong  #JDT Perlu Tukar Mentaliti – @OfficialJohor

JOHOR BAHRU, 28 APRIL – Bola sepak Johor telah ‘tidur’ dan tidak memenangi sebarang kejuaraan sejak 24 tahun yang lalu. Kemudian selepas saya hadir, penyokong mula datang dan kami memenangi tujuh piala dalam masa tiga tahun setengah. Tahun ini pula kami kurangkan bajet dan kami sudah tewas/hilang dua piala tetapi apa masalahnya? Penyokong mula merungut berkaitan pasukan musim ini tidak bagus tetapi mereka lupa pasukan sekarang berada di tangga pertama liga, melangkah ke suku akhir Piala FA, dan pasukan kita bertanding merebut Piala Sumbangsih, dimana pasukan lain langsung tidak bertanding untuk Piala Sumbangsih.

 

Pada masa ini kami mungkin mempunyai peluang yang cukup baik untuk layak ke peringkat ‘knock-out’ AFC, yang merupakan satu lagi pencapaian. Tetapi saya hairan dengan ramai penyokong Johor yang masih merungut, seolah-olah mereka selalu memenangi kejuaraan sejak 24 tahun yang lalu. Apakah akan terjadi jika Johor tidak memenangi sebarang piala tahun ini? Apakah akan terjadi jika Johor tidak memenangi sebarang piala untuk dua tahun akan datang? Tiga tahun? Empat tahun? Saya tidak peduli. Saya masih akan memakai warna Johor dengan rasa bangga, saya masih mahu berada di belakang kelab. Pada penghujungnya, kami masih kelab yang paling popular di negara ini.

 

Kami telah menerima pelbagai pengiktirafan, dari setiap organisasi AFC, World Football Summit (WFS), malah diikuti oleh 1.7juta peminat dan jumlah penyokong yang semakin meningkat di negara ini. Oleh itu, kesudahannya adalah perlunya kita berfikir secara positif. Saya tidak tahu mengapa penyokong merungut tentang itu dan ini, jika anda tidak boleh menerima kekalahan, jangan menyokong bola sepak, pergilah lakukan sesuatu yang lain. Ini adalah sukan yang mana ada menang dan ada kalah. Ini adalah hanya  sukan, namun bagi saya  yang sayangkan Johor, yang sayangkan negeri ini, yang sayangkan JDT, saya mahu berdiri di belakang pasukan saya. Saya tidak peduli sama ada kita menang atau kalah.

 

Anda tidak mahu berdiri di belakang pasukan apabila mereka kalah? Itu terpulang. Tidak mengapa. Tetapi sekurang-kurangnya ada masanya kita perlu melihat dalam diri kita melalui cermin dan tanya diri sendiri, bilakah kita mempunyai kejayaan? Kita memiliki semua kejayaan ini adalah kerana siapa? dan itulah kenyataan, dan itulah fakta. Anda tidak memiliki kejayaan sepanjang 24 tahun yang lalu. Mengapa anda terlalu mengambil berat jika anda tidak memenangi apa-apa piala tahun ini? Atau tahun depan, atau apa pun. Sebabnya adalah kerana anda tidak mengambil berat tentang pencapaian kelab dalam semua aspek. Anda tidak menghargai pencapaian dan kemajuan kelab. Anda lebih berminat untuk melayan orang-orang yang bercakap benda yang negatif tentang kelab di laman sosial dan oleh kerana mental anda tidak kuat ia membuatkan anda kecewa dan marah apabila anda tewas. Itulah realitinya. Itu adalah mentaliti yang perlu anda ubah dan bertukar menjadi penyokong bola sepak yang matang dan terus menyokong pasukan anda kerana pasukan anda adalah pasukan yang paling terkenal di Asia Tenggara dan di negara ini. Itu adalah sesuatu yang anda perlu hargai. Kuatkan semangat. Saya telah di hina, dikeji oleh ramai orang dalam negara tetapi masih ‘steady’ dan teruskan kehidupan. Kalau kita hendak berhenti dan melontar batu kepada setiap anjing yang menyalak, maka kita tidak akan bergerak ke hadapan. JDT for life.  Ada ‘problem’ mari sini…

 

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Leave a Reply