Persefahaman Di Dalam BN Gagal Ditiru Pakatan Pembangkang

Persefahaman Di Dalam BN Gagal Ditiru Pakatan Pembangkang

JOHOR BAHARU, 27 April – Konsep dan persefahaman yang cukup padu di dalam Barisan Nasional (BN) terbukti sehingga kini dan rahsia kejayaan berkenaan yang kekal hingga ke hari ini gagal ditiru dan diciplak oleh pakatan parti pembangkang.

Pengerusi MIC Johor, Datuk M. Asojan berkata wakil daripada pelbagai kaum yang berada di bawah satu bumbung BN telah berjaya meletakkan negara ke tahap yang cukup dibanggakan termasuklah persefahaman yang jitu dikalangan BN Johor.

“Kesinambungan negara bermula daripada Perikatan yang membuktikan pelbagai kemajuan hari ini dibawa oleh BN sejak merdeka. Apakah rahsia kejayaan hari ini..mereka ini merupakan wakil daripada pelbagai kaum duduk dalam pentadbiran dan pemerintahan Negara.

“Mana-mana kaum tidak merasa disisihkan dan tersisih. Persefahaman antara kita di dalam BN dan ini tidak dapat dilihat dalam mana-mana gabungan parti lain. Pembangkang cuba pelbagai pakatan…umpama perkahwinan yang tidak kekal dan pakatan mereka cukup rapuh serta tidak sama dengan pakatan kita menerusi BN,“ katanya ketika ditemui dalam Program Penerangan BN baru-baru ini.

Beliau seterusnya menegaskan prinsip konsensus di dalam BN telah berjaya membuktikan persefahaman antara satu dengan yang lain.
“Kita berada dalam kabinet dan juga kerajaan negeri… Keputusan yang kita buat adalah konsensus…dan prinsip kita mengambil pertimbangan sebaik mungkin sebelum mana-mana keputusan dibuat.

“Justeru kenapa nak uji sesuatu yang belum teruji keberkesanannya. Jangan bayangkan kita akan dapat bintang dan emas daripada satu lagi dan mungkin akan teruk..kita telah berikan yang terbaik untuk rakyat,“ katanya.

Leave a Reply