Najib Lancar Larian Bendera Sang Saka Bangsa, Setem Peringatan Ulang Tahun UMNO Ke-71

Najib Lancar Larian Bendera Sang Saka Bangsa, Setem Peringatan Ulang Tahun UMNO Ke-71

KUALA LUMPUR, 26 April – Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menyerahkan secara rasmi bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ kepada Pengerusi-pengerusi Badan Perhubungan UMNO melibatkan 13 buah negeri sebagai simbolik bermulanya larian bendera bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-71.

Beliau yang juga Perdana Menteri berbuat demikian dalam acara yang berlangsung di Ibu Pebjabat UMNO, Menara Dato Onn dengan turut disertai oleh para pemimpin parti termasuklah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ketua pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri berserta barisan jentera parti.

Larian bendera ini akan bermula pada 1 Mei depan di seluruh negara yang akan membabitkan jentera parti khususnya Pemuda UMNO untuk meneruskan larian sebelum ber¬akhir di ibu negara pada 10 Mei untuk dibawa masuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil keesokannya.

Dalam masa yang sama, Najib turut melancarkan setem kenang-kenangan sempena Hari UMNO ke-71 selain kempen sejuta tandatangan ahli UMNO yang akan bergerak ke seluruh negara sebagaimana larian bendera.

Sebelum itu Najib turut meninjau hadiah-hadiah untuk cabutan bertuah membabitkan tujuh buah kereta dan sepuluh buah motosikal berserta pelbagai barangan lain yang disediakan kepada ahli-ahli UMNO bersempena dengan sambutan ulang tahun kali ini.

Ulang tahun UMNO ke-71 yang bertemakan ‘Tujuh Dekad Memperjuangkan Bangsa’ ini akan disambut secara besar- besaran dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti di setiap negeri.

Kemuncaknya, lebih 140 ribu ahli UMNO akan berhimpun di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10-11 Mei untuk sama-sama menyemarakkan semangat perjuangan parti yang berteraskan agama, bangsa dan negara. – UMNOOnline

Leave a Reply