Tiada Pelajar Terlibat Gengsterisme – Ayub

Tiada Pelajar Terlibat Gengsterisme – Ayub

SEGAMAT 23 April – Setakat ini tiada sebarang laporan diterima Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) berhubung penglibatan pelajar dalam aktiviti kongsi gelap di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, walaupun tiada sebarang kes dilaporkan, langkah pencegahan tetap diambil oleh pihak berkenaan.

“Di negeri ini langkah proaktif diambil termasuk melihat potensi yang boleh mempengaruhi pelajar untuk menjadi ahli kumpulan kongai gelap,” katanya kepada pemberita selepas meras­mikan Karnival Muafakat Tani Segamat di Taman Pelangi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Datuk Saipolbahari Suib; Pengarah Jabatan Pertanian Johor, Mohd. Kamil Mohd. Yunus dan Pemangku Pengarah Pejabat Wilayah Semenanjung Malaysia Lembaga Lada Malaysia, Muhammad Hasaan M. Salleh.

Beliau sudah mengarahkan pihak PPNJ melakukan pemantauan setiap masa bagi memastikan tiada sebarang aktiviti mahupun usaha untuk merekrut pelajar sekolah menjadi ahli kongsi gelap.

Katanya, langkah pencegahan awal penting bagi mengelakkan usaha pihak tertentu menjadikan pelajar sebagai alat kumpulan kongsi gelap melakukan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan terdapat pelajar sekolah di negeri ini yang terlibat dengan gejala pengunaan dadah namun bilangannya kecil dan masih terkawal.

“Sebenarnya sudah wujud kerjasama agensi berkaitan se­perti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pemadam dan Ja­batan Pendidikan Negeri (JPN) yang mengadakan pelbagai program anti dadah di sekolah sejak se­kian lama sebagai langkah awal pencegahan dalam kala­ngan pe­lajar.

“Selain itu, semua pihak terlibat turut bekerjasama dan ujian air kencing secara mengejut dilakukan di sekolah bagi me­ngenal pasti pelajar-pelajar yang terlibat dalam aktiviti penagihan dadah,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply