Johor Nafi 1,480 Lot Hartanah Bumiputera Hilang – Jais

Johor Nafi 1,480 Lot Hartanah Bumiputera Hilang  – Jais

BATU PAHAT: Kerajaan Johor menafikan dakwaan 1,480 lot hartanah Bumiputera negeri ini hilang berikutan skandal rasuah hartanah membabitkan seorang bekas EXCO.

Dakwaan yang dibuat dalam bentuk grafik itu mulai viral di laman sosial sejak beberapa hari lalu, antara lain memaparkan fakta kes skandal rasuah hartanah Johor termasuk mendakwa sebanyak 1,480 lot hartanah Bumiputera Johor hilang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata tidak timbul soal lot hartanah Bumiputera Johor hilang berikutan kerajaan negeri mempunyai prosedur dalam pelepasan atau pertukaran status hartanah Bumiputera.

Katanya, pertukaran status Bumiputera juga hanya dilakukan selepas ia melepasi tempoh dan syarat tertentu, bagi mengelakkan lambakan rumah sedemikian yang tidak terjual kepada pembeli Bumiputera.

“Setakat ini tiada lot hartanah Bumiputera Johor yang hilang. Saya ingin tegaskan bahawa dasar yang membenarkan pelepasan atau pertukaran status hartanah Bumiputera kepada status awam, sama sekali tidak membabitkan rumah kos rendah dan mampu milik.

“Penukaran status adalah untuk kuota Bumiputera yang membabitkan rumah mewah dan bukan dalam kategori Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan ia adalah amalan kerajaan negeri bukan sahaja di Johor malah di semua negeri.

“Bagaimanapun, kerajaan Johor juga masih menunggu laporan penuh serta cadangan daripada Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan Johor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melakukan penambah baikan dasar perumahan negeri ini bagi mengelakkan berlakunya rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat dan lawatan ke tapak cadangan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Bukit Payung, Parit Sulong, dekat sini, hari ini.- BERITA HARIAN

Leave a Reply