Pembangunan Asas Tani Penggerak Ekonomi Segamat – @AyubBinRahmat

Pembangunan Asas Tani Penggerak Ekonomi Segamat – @AyubBinRahmat

SEGAMAT, 23 APRIL  –  Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap ADUN Kemelah, YB Datuk Haji Ayub bin Rahmat yakin dengan potensi pembangunan industri asas tani menjadi nadi penggerak ekonomi Segamat.

Usaha kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganjurkan Karnival Muafakat Tani Johor Daerah Segamat yang telah berlangsung bermula pada 21 hingga 23 April 2017.

Sebagai sebuah daerah yang menjadi tumpuan utama bagi sektor pertanian dan industri asas tani, Segamat merupakan lokasi yang ideal bagi para usahawan, dan penduduk sekitar bergiat secara aktif dalam industri ini.

Kedudukan strategik, bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Pahang, Segamat telah dipilih menjadi perintis bagi program Agro Mix Farm atau Kebun Nukleus yang telah diumumkan oleh  Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin pada Mac yang lalu.

Sejumlah RM1.25 juta telah diperuntukan bagi projek ini, yang bertujuan untuk membantu dan mendidik peserta yang berumur di bawah 40 tahun dan yang menubuhkan perniagaan pertanian di daerah Segamat

Objektif program ini ialah mewujudkan platform pemasaran dan promosi untuk petani tempatan untuk meningkatkan hasil makanan negara dan untuk membentuk satu daya tarikan agro-pelancongan di Segamat Ini merupakan projek perintis yang memberi penekanan kepada pengeluaran produk berasaskan pertanian, penternakan dan akuakultur.

Projek yang merangkumi tanaman makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan bahkan ternaikan ikan tilapia merah dan ternakan rusa. Seramai lebih 5 ribu pengunjung daripada sekitar daerah Segamat dan daerah-daerah berhampiran telah mengunjungi program yang diadakan selama 3 hari ini dengan sasaran pulangan melebihi RM 50 ribu melalui kutipan jualan daripada lebih 40 lot jualan produk usahawan dan pameran agensi yang disediakan.

Program yang dijayakan bersama dengan lebih daripada 20 agensi kerajaan negeri Johor ini telah memperlihatkan kepelbagaian inovasi, produk dan perkhidmatan industri asas tani kepada para pengunjung di Dewan Taman Pelangi, Segamat. Karnival ini juga turut menyajikan dengan pelbagai program dan aktiviti sepanjang 3 hari berlangsung serta persembahan daripada artis jemputan.

Turut hadir sama hari ini merasmikan majlis adalah Tuan Haji Ismail bin Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.

Leave a Reply