KDN Berkerjasama Dengan UNHCR Semak Status Pelarian – @NurJazlan

KDN Berkerjasama Dengan UNHCR Semak  Status Pelarian – @NurJazlan

JOHOR BAHRU, 22 APRIL – Kementerian Dalam Negeri (KDN)  bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bagi mengenal pasti kaedah  menyaring pelarian dalam usaha memastikan kesahihan status mereka.

 

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata kerjasama yang dijalankan selama tiga bulan sejak 1 April lalu, penting kerana pada masa ini pihaknya tidak mempunyai rekod pemegang kad UNHCR bagi membolehkan pemantauan dijalankan, terutama mengelak pembabitan kegiatan pengganas dan jenayah.

 

Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 150,000 pelarian di Malaysia dan berbeza dengan negara lain, Malaysia tidak mempunyai kem khas untuk menempatkan mereka, sekali gus sukar mendapat maklumat kegiatan mereka.

 

“Kita mahu KDN sendiri turut mengeluarkan kad bagi mengenal pasti pelarian ini. Kita buat perkara ini kerana kita ada lebih 150,00 pelarian, kebanyakan dari Myanmar termasuk 56,000 Rohingya.

 

“Yang kita hairan, jumlah pelarian semakin meningkat setiap tahun tetapi kita tidak nampak cara mereka masuk ke negara ini. Kalau pelarian, biasanya mereka akan datang dalam keadaan stress (tertekan) seperti menggunakan bot sebelum menyerahkan diri kepada pihak berkuasa dan selepas itu baru pihak UNHCR mendaftarkan mereka.

 

“Sekarang ini, apa yang kita nampak, pelarian datang tidak berdaftar dengan KDN atau polis, (sebaliknya) mereka terus ke UNHCR yang kemudian terus mengeluarkan kad,” beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Tani Negaraku Parlimen Pulai yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini, hari ini.

 

Ahli Parlimen Pulai itu juga berkata, kerajaan menghormati kad yang dikeluarkan UNHCR tetapi atas dasar keselamatan, pihaknya mahu mengenal pasti mereka yang masuk ke negara ini.

 

“Kita takut juga bahawa ada kalangan yang datang ke negara ini tidak melalui saluran yang biasa dan adakah pelarian itu benar-benar pelarian?. Kita mahu mengenal pasti mereka pelarian atau pelarian jenayah atau sebenarnya pengganas yang menggunakan Malaysia untuk mendapatkan pendapatan sebelum disalurkan ke negara mereka atau menggunakan Malaysia sebagai tempat perlindungan untuk merancang serangan seterusnya,” katanya.

 

 

Beliau juga berkata, menerusi langkah itu juga memudahkan pelarian mendapat pekerjaan kerana status dan identiti mereka disahkan oleh KDN.

Leave a Reply