Orang Muda Diseru Bersama Raikan Tujuh Dekad Kejayaan UMNO Tempuh Dugaan, Rintangan

Orang Muda Diseru Bersama Raikan Tujuh Dekad Kejayaan UMNO Tempuh Dugaan, Rintangan

JOHOR BHARU, 21 April – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Sahrihan Jani berkata pada usia UMNO menjangkau 71 tahun, ia menjadikan parti ini sebagai satu wadah perjuangan orang Melayu yang telah menempuh pelbagai dugaan dan rintangan dalam tujuh dekad.

Jelas beliau, parti keramat ini adalah satu manifestasi atas iltizam dan kesungguhan orang Melayu terdahulu untuk mencapai kemerdekaan dari belenggu penjajah.

“Melalui bahtera UMNO inilah, orang Melayu kini dapat mencapai kemajuan dalam banyak aspek kehidupan termasuk mobiliti sosial yang bergerak begitu pantas.

“Ramai kelas menengah telah lahir hasil dari perjuangan UMNO tetapi masih terlalu banyak yang perlu diperjuangkan demi sebuah penghormatan terhadap bangsa Melayu, peningkatan martabat Syiar Islam sebagai agama Persekutuan dan kedaulatan sebuah negara yang digelar Malaysia tercinta ini.

“Oleh kerana itulah, sambutan kali ini sudah pastinya harus disambut dengan penuh kemeriahan di setiap bahagian seiring dengan sambutan yang telah diatur di peringkat pusat dan kemuncaknya nanti pada 11 Mei di Stadium Bukit Jalil,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Sahrihan, Pemuda UMNO Johor akan turut memeriahkan acara yang telah diatur seperti karnival sukan dan beramai-ramai menyertai larian bendera seterusnya akan bersama-sama berkumpul di stadium kelak.

“Golongan muda tidak harus ketinggalan di dalam meraikan ulang tahun UMNO ini kerana inilah parti yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

“Namun, selain meraikan hari UMNO ini dengan penuh gemilang, pemimpin dan ahli-ahli UMNO juga sewajarnya harus menginsafi bahawa bahtera UMNO yang ada pada hari ini bukan sahaja diwarisi dari pejuang terdahulu tetapi yang paling penting bahtera UMNO ini merupakan ‘pinjaman’ dari generasi yang akan datang..

“Maka sewajarnya kita ‘kembalikan pinjaman’ ini dalam keadaan yang sangat elok malah ditambah baik agar manfaat berterusan dapat diperolehi darinya oleh generasi yang akan datang,” ulasnya lagi.

Justeru, beliau menyeru semua ahli UMNO dan orang Melayu untuk terus pertahankan parti keramat ini sebagai satu-satunya wadah perjuangan orang Melayu.

“Sempena ulang tahun ke-71 ini, kita wajar muhasabah diri bahawa sesungguhnya perjuangan mengangkat martabat bangsa dan agama itu lebih penting dari segalanya.

“Parti ini wajar dipacu dengan peneguhan iltizam dan semangat jati diri yang kukuh serta berpegang kepada solidariti terhadap kepimpinan.

“Kepimpinan juga diseru agar terus mengutamakan agenda memperkasakan bangsa dan agama dengan tidak meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat Melayu agar kemajuan dan faedahnya dapat dirasai bersama,” katanya lagi. UMNOOnline

Leave a Reply