Bas Muafakat Johor Telah Diperluaskan

Bas Muafakat Johor Telah Diperluaskan

JOHOR BAHRU, 20 APRIL  –  Perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) secara percuma untuk rakyat Malaysia telah diperluaskan ke seluruh daerah di Johor iaitu Muar, Batu Pahat, Segamat, Kluang, Simpang Renggam, Pontian, Mersing, Yong Peng, Tangkak dan Kota Tinggi bermula pada 1 April 2017 telah mencatatkan angka sebanyak 5,633 pengguna sehari.

 

Penentuan laluan BMJ ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah mengambil kira permintaan masyarakat melalui pandangan Ahli-ahli Majlis dan pihak yang berkepentingan dalam PBT sesuai dengan kemampuan kewangan PBT itu sendiri.

 

Laluan BMJ ini telah dipastikan tidak bertindih dengan laluan operasi bas sedia ada dan menghubungkan kawasan antara bandar melalui sekolah-sekolah, hospital, pusat beli belah, taman perumahan, tempat riadah, pejabat kerajaan; rumah-rumah ibadat dan tempat-tempat riadah dan rekrasi ke Terminal atau Hentian Bas Pengangkutan Bas Tempatan.

 

Untuk menggunakan bas BMJ ini pengguna hanya perlu mendapatkan Kad Muafakat Johor yang boleh didapati di pejabat PAJ sendiri atau pembekal yang dilantik oleh PAJ dengan harga hanya RM5.00 bagi pelajar-pelajar sekolah, orang kurang upaya dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas manakala bagi orang dewasa yang berumur 18 tahun hingga 59 tahun dikenakan bayaran sebanyak RM10.00 sahaja.

 

Walaubagaimanapun bagi 3 bulan pertama PAJ memberi kelonggaran kepada pengguna dengan hanya menunjukkan Kad Pengenalan/My Kad sewaktu menggunakan bas BMJ ini.

 

Perkhidmatan bas BMJ ini bukan sahaja percuma untuk rakyat Malaysia tetapi mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana ianya dilengkapi dengan sistem GPS untuk mengesan pergerakan bas, kemudahan akses internet/Wifi secara percuma dan pemantauan melalui sistem CCTV.

 

Selain daripada itu pengguna juga boleh mengetahui pergerakan dan membuat anggaran perjalanan bas BMJ melalui aplikasi ‘Transit for Johor’ menggunakan talipon pintar masing-masing secara dalam talian sama ada sistem android atau pun IOS.

Leave a Reply