Sidang Media – Lawatan MB Johor Ke Parlimen Sri Gading

JOHOR BAHRU, 18 APRIL – Kerajaan Negeri telah menyokong dan meluluskan beberapa peruntukan bagi Parlimen Sri Gading sebagaimana yang dikemukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pejabat daerah dan juga wakil rakyat di sana.

 

Sejumlah RM35 juta  peruntukan untuk projek-projek pembangunan di kawasan parlimen Sri Gading.

 

Peruntukan itu diberi sempena lawatan kerja rasmi Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin ke parlimen tersebut, semalam.

 

“Kerajaan Negeri mengkaji pembangunan semula bagi gerai dan dewan yang sedia ada dan itu akan mengambil masa kerana kita akan lihat apa yang perlu dilakukan dan beberapa peruntukan diagihkan termasuk kerja-kerja naik taraf jalan, projek saliran dan Industri Kecil Sederhana (IKS),” beliau berkata semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah di Masjid Jamek Felcra Sr Wangi.

 

Peruntukan yang telah diagihkan itu adalah ;

 

1.RM24.2 juta untuk kerja-kerja selenggara dan melebar jalan-jalan PBT, Daerah dan Konsesi di kawasan parlimen Sri Gading.

2.RM200,000 untuk pembinaan surau Sekolah Menengah Agama Parit Raja.

3.RM180,000 untuk projek lintasan konkrit rumah-rumah uzur di kawasan Parlimen Sri Gading.

4.RM1 juta untuk membina dataran Parit Raja.

5.RM1 juta untuk membina Downtown Pekan Parit Raja.

6.RM1 juta untuk projek naik taraf jalan sekunder Sri Gading.

7.RM1.129 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran.

8.RM5 juta untuk projek jalan, jambatan dan lampu isyarat Jalan Bindu.

9.RM2.2 juta untuk dua projek laman ole-ole di kawasan parlimen Sri Gading

 

Yang turut hadir semasa sesi lawatan ini ialah Ahli Parlimen Sri Gading merangkap Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Aziz Kaprawi, Exco-exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azmi Rohani, Adun Parit Raja Datin Azizah Zakariah dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab  Han Ramin.

Leave a Reply