Media Seharusnya Lebih Sensitif

JOHOR BAHRU, 16 APRIL – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata media cetak tempatan diingatkan supaya tidak menyiarkan berita, gambar atau karikatur yang boleh menjejaskan keharmonian mana-mana kaum di negara ini dan mereka wajar mengambil iktibar tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina menyiarkan karikatur monyet yang mendapat bantahan segelintir pihak

 

“Janganlah buat sesuatu perkara, selepas itu memohon maaf. Sebaliknya, mereka perlu lebih berhati-hati ketika menyiarkan apa-apa bahan mahupun karikatur dalam akhbar masing-masing.

 

“Saya berharap syarikat media cetak mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan selaras lesen dan permit penerbitan yang dikeluarkan kementerian,” beliau berkata semasa sidang media selepas merasmikan Program Ekspresi Negaraku Sejahtera Tanpa Dadah hari ini.

 

Pada 8 April lalu, akhbar berkenaan menyiarkan kartun di portal mereka dengan ilustrasi seekor monyet memakai songkok dan dilabelkan sebagai ‘Speaker’ manakala seekor lagi monyet memakai serban yang diberi label ‘Hadi Awang’. Kedua-dua monyet berkenaan digambarkan bertenggek atas dahan sebuah pokok yang diberi label ‘Akta 355’.

 

Bagaimanapun, akhbar Nanyang Siang Pau dilaporkan sudah memohon maaf mengenai perkara itu dan mengakui penyiaran kartun itu adalah tidak wajar untuk tatapan umum.

Leave a Reply