Ucapan Wakil MB Johor Sempena Majlis Perasmian Konvensyen Pak-21

Ucapan Wakil MB Johor Sempena Majlis Perasmian  Konvensyen Pak-21

JOHOR BAHRU, 15 APRIL – Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri, melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor di atas usaha untuk memartabatkan sistem pendidikan di negara ini, amnya, sekali gus di negeri Johor.
Datuk Ayub Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan Dan Penerangan Negeri Johor berkata dengan hasil daripada usaha ini, Johor dapat dijadikan sebagai perintis juga rujukan dari segi amalan terbaik sekolah-sekolah rintis Pembelajaran Abad ke-21.
Bagi memastikan hasrat ini berjaya, warga pendidik perlu mengambil inisiatif menyiapkan diri dengan pelbagai persediaan pembelajaran. Justeru, perkongsian idea serta kepakaran warga pendidik dalam pelbagai bidang mata pelajaran adalah amat penting.
Konvensyen ini turut mempunyai matlamat lain, antaranya meningkatkan penglibatan badan-badan organisasi berkepentingan, wakil-wakil rakyat serta pemimpin masyarakat, golongan ibu bapa dan di peringkat komuniti bagi merealisasikan pembelajaran Abad ke-21 di negeri Johor.

“Tugas ini bukan sahaja diletakkan di atas bahu warga pendidik semata-mata tetapi kelompok ibu bapa juga perlu mengambil perhatian serta bersama-sama membantu anak-anak untuk mencapai tahap pendidikan yang telah digariskan,” beliau berkata semasa Majlis Konvensyen Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) bagi mewakili Menteri Besar Johor.
Kerajaan Negeri Johor dengan diterajui oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan sokongan daripada pelbagai agensi lain telah merangka dan menggerakkan konsep Pembelajaran Abad ke-21 atau dikenali sebagai PAK-21 sebagai satu bentuk transformasi dalam pedagogi pengajaran di dalam dan di luar bilik darjah.
“Daripada pedagogi yang dijalankan kita berhasrat untuk melahirkan pelajar yang mempunya 4 kemahiran PAK-21 iaitu kemahiran berkolaboratif, kemahiran berkomunikasi dan mempunyai pemikiran yang kritis dan kreatif,” tambah beliau.

Dengan kekuatan guru dari 110 buah sekolah rintis PAK-21 di Johor, dan Sekolah Amanah di Johor, beliau yakin PAK-21 dapat disebarluaskan ke semua sekolah di negeri Johor dengan lebih pantas sekali gus menjadi penanda aras kepada PAK-21 di Malaysia.
Beliau juga menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan serta penganjuran Konvensyen PAK-21 ini.

Leave a Reply