UMNO, BN Catat Sejarah Baru Tubuh Jentera Bersepadu JR Plus Untuk Berdepan PRU-14

UMNO, BN Catat Sejarah Baru Tubuh Jentera Bersepadu JR Plus Untuk Berdepan PRU-14

KUALA LUMPUR, 14 April – UMNO, Barisan Nasional (BN) hari ini mencipta sejarah baru apabila menubuhkan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) dalam usaha memperkukuh serta menguatkan lagi jentera parti untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Merdeka PWTC ternyata memberi semangat kepada seluruh jentera untuk terus mengorak langkah ke depan dalam melaksanakan amanah serta misi parti.

Lautan jentera sayap parti yang yang memenuhi tempat pelancaran cukup gemuruh dengan laungan serta sorakan Hidup Rakyat, Negaraku Malaysia yang sekaligus memberi gambaran mereka cukup bersedia dan hanya menunggu gendang pilihan raya umum diumumkan.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di dalam montaj pelancaran JR Plus menyifatkan kewujudan JR serta JR Plus bakal menjadi senjata yang cukup bermakna kepada parti dan tentunya makin digeruni oleh pihak pembangkang.

“Jalinan Rakyat atau JR Wanita UMNO adalah jentera yang paling ditakuti oleh pembangkang. Sekian lama JR Wanita UMNO yang menjadi jentera yang pergi rumah ke rumah dan menjalankan pelbagai kerja politik bukan hanya semasa kempen tetapi sepanjang masa.

“Mengambil kira iklim serta ekosistem politik yang baharu maka Wanita UMNO telah membuat keputusan untuk menjemput Pemuda, Puteri, parti-parti komponen, malah NGO, individu serta agensi-agensi yang relevan untuk tampil bersama kami Wanita UMNO.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Parti, Datuk Seri Najib Razak yang telah memberi kebenaran kepada kami untuk menubuhkan JR Plus. Saya percaya bahawa dengan kewujudan JR sedia ada dan JR Plus yang akan kita kembangkan lagi maka percayalah ianya akan menjadi senjata yang paling digeruni oleh pihak pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dalam montaj yang sama melihat UMNO telah meruntuhkan tembok-tembok yang memisahkan antara jentera Wanita, Pemuda, Puteri dan UMNO keseluruhannya.

“Hari ini kita akan mencipta sejarah baru dalam parti keramat UMNO. Kekuatan parti politik adalah pada kesatuannya dan kekuatan jenteranya. Dan kita akui senjata yang paling berbisa dalam UMNO adalah JR di bawah pergerakan Wanita UMNO.

“Justeru pada hari ini Pemuda dan Puteri UMNO juga akan turut serta melalui satu konsep baru yang dinamakan JR Plus. Melalui pendekatan ini 60,000 lebih jentera Pemuda seluruh Malaysia akan bersama termasuk dengan yang lain-lain untuk memantapkan lagi ketumbukan barisan hadapan parti kita untuk memastikan kemenangan kita dalam PRU akan datang,” ujanya.

Bagi Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyanti Shamsuddin pula berpandangan JR Plus adalah pendekatan yang lebih holistik dan praktikal serta lebih berfokus dan mudah untuk menjejaki pengundi muda.

“Pastinya kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan parti haruslah disambut dan dibuat sehabis baik. Pastinya ia mencabar tetapi bak kata pepatah orang Melayu berat sama dipikul ringan sama dijinjing, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

“Bersama kita gerakkan JR Plus ini untuk kemenangan BN dalam PRU akan datang,” katanya menerusi montaj yang dipaparkan sebelum gimik pelancaran JR Plus.  – UMNOOnline

Leave a Reply