MB Johor Mula Misi Pelaburan Ke Shanghai

MB Johor Mula Misi Pelaburan Ke Shanghai

SHANGHAI: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini mengetuai misi perdagangan serta pelaburan selama empat hari ke Shanghai selain mengadakan pertemuan bersama pemain industri utama di bandar raya itu.

Lawatan kerja rasmi yang bermula hari ini menyaksikan Mohamed Khaled mengadakan beberapa perjumpaan perdagangan dengan pelabur berpotensi dari China terutama dalam industri robotik dan tekstil.

Hadir sama dalam delegasi itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa yang juga Timbalan Pengerusi Johor Corporation (JCorp); Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud; Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Esok, Mohamed Khaled dijadualkan mengadakan pertemuan tertutup bersama pelabur dalam industri robotik dan tekstil pada jam 8.30 pagi sebelum berucap ketika pertemuan meja bulat bersama pemain industri dari China pada jam 10 pagi.

Delegasi kemudian akan meneruskan lawatan ke beberapa pusat industri berasaskan pembuatan, teknologi hijau dan robotik di sekitar bandar raya bertaraf metropolitan itu.

Tahun lalu, Johor mencatatkan jumlah pelaburan asing bernilai RM24.6 bilion dan daripada jumlah itu, hampir RM700 juta yang dibawa masuk dari China.

Dalam satu majlis di Johor Bahru awal bulan ini, Mohamed Khaled berkata, pihaknya melihat industri robotik sebagai satu pelaburan baharu yang diyakini mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini.

“Kebiasaannya pelabur seperti ini lebih yakin untuk membuat pelaburan sekiranya pemimpin negeri itu sendiri bertemu mereka bagi mengadakan perbincangan.

“Ini kerana mereka mahukan jaminan dari segi kestabilan politik, jaringan infrastruktur dan juga jumlah tenaga kerja. Ini ialah usaha kerajaan negeri untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi ke Johor,” katanya yang juga Pengerusi JCorp. – BERITA HARIAN

Leave a Reply