Kerajaan Johor Salur RM56.2 Juta Bangunkan Pendidikan Islam Negeri

Kerajaan Johor Salur RM56.2 Juta Bangunkan Pendidikan Islam Negeri

ISKANDAR PUTERI, 11 April — Sebanyak 20.8 peratus atau RM56.2 juta daripada bajet agihan zakat berjumlah RM309.8 juta tahun ini disalurkan untuk pembangunan pendidikan Islam di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembangunan itu meliputi bantuan individu, pengurusan pendidikan, pembangunan prasarana dan bantuan khas pendidikan masyarakat.

Bantuan individu melibatkan bantuan pakaian sekolah, program makanan sihat, yuran sekolah, pendaftaran di institusi pengajian tinggi dan dermasiswa luar negara.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar-Pelajar Johor yang akan melanjutkan pelajaran ke Univerisiti Al-Azhar Mesir bagi sesi 2017 di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz.

Mohamed Khaled berkata bantuan pengurusan pendidikan berupa pembiayaan sekolah menengah agama, gaji guru sekolah agama rakyat, cetakan kitab sekolah agama dan sumbangan kepada sekolah tahfiz swasta.

Bantuan pembangunan prasarana pula lebih kepada pembinaan sekolah agama Johor, membaik pulih sekolah agama rakyat, pembelian perabut sekolah agama di Johor dan penyelenggaraan asrama Johor di Mesir.

Bantuan khas pendidikan masyarakat pula membabitkan bayaran elaun guru kelas Al-Quran, skim galakan hafaz Al-Quran dan program-program dakwah masyarakat, katanya.

“Peruntukan yang diberikan adalah bagi memastikan bantuan wang zakat tidak hanya dinikmati oleh golongan fakir dan miskin tetapi masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Mohamed Khaled berkata selain pembangunan, sebanyak RM165 juta atau 53.3 peratus daripada bajet itu diagihkan kepada golongan fakir dan miskin manakala RM95.3 juta untuk asnaf fisabilillah.

Seramai 101 pelajar Johor dipilih melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar dalam pelbagai jurusan pengajian Islam termasuk Syariah, Usuluddin dan Ulum Syariah.

Mereka ditawarkan dermasiswa RM6,000 setahun oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) tetapi perlu memenuhi beberapa syarat kelayakan ditetapkan.

Mereka juga akan menerima sumbangan tiket penerbangan dan wang sagu hati RM500 seorang. -Bernama

Leave a Reply