SPRM Tahan Dua Lelaki Disyaki Beri Suapan Kepada Anggota Polis

SPRM Tahan Dua Lelaki Disyaki Beri Suapan Kepada Anggota Polis

JOHOR BAHRU, 5 April — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki secara berasingan di Batu Pahat dan Segamat, hari ini, kerana disyaki memberi suapan kepada anggota polis.

Menurut sumber SPRM, lelaki pertama ditahan SPRM Cawangan Batu Pahat kerana memberi suapan sebanyak RM150 kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan di Balai Polis Pagoh, Muar.

Lelaki itu yang merupakan seorang tukang rumah, sebelum itu ditahan polis di pekan Pagoh pada 5.45 petang, 2 April lepas kerana berkelakuan mencurigakan dan dia kemudian cuba mengelak daripada menjalani saringan awal air kencing dengan memberi suapan kepada pihak polis.

Lelaki berumur 37 tahun itu ditahan SPRM selepas diserahkan kepada SPRM Cawangan Batu Pahat oleh pihak polis.

Berdasarkan pemeriksaan terhadap lelaki tersebut, dia turut didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak beberapa tahun lepas.

Menurut sumber berkenaan, lelaki kedua pula ditahan SPRM Cawangan Segamat kerana memberi wang suapan sebanyak RM120 kepada seorang Lans Koperal polis di Balai Polis Bekok, Segamat.

Lelaki tersebut yang ditahan polis di sekitar Bekok pada 2.38 pagi tadi, didapati memberikan suapan terbabit bagi mengelak menjalani saringan awal air kencing.

Lelaki berumur 50 tahun itu ditahan oleh pegawai SPRM setelah diserahkan oleh pihak polis di Pejabat SPRM Cawangan Segamat.

Pemeriksaan yang dibuat ke atas lelaki tersebut mendapati dia bekerja sendiri dan telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak beberapa tahun lepas.

Kedua-dua lelaki berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, namun, enggan mengulas lanjut.

Leave a Reply