Jawatankuasa Khas Ditubuh Pantau Pencemaran Air

Jawatankuasa Khas Ditubuh Pantau Pencemaran Air

SIMPANG RENGGAM, 3 APRIL – Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau perkembangan pembinaan kolam pengasingan bagi menangani masalah pencemaran air yang berpunca dari tapak pelupusan sampah di Jalan CEP Renggam.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN), Datuk Liang Teck Meng berkata, jawatankuasa khas itu telah mendapat kelulusan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Jelasnya, sehingga kini, pembinaan kolam pengasingan ammonia, organik, logam berat telah dibina di tapak pelupusan sampah CEP Renggam.

“Loji rawatan ini akan mula beroperasi pada 14 April ini dan tapak pelupusan tersebut akan ditutup selama-lamanya apabila tapak pelupusan di Bukit Payung, Batu Pahat siap dalam tempoh tiga tahun ini.

“Masalah yang timbul sekarang ini adalah disebabkan pihak pembangkang membuat bantahan pada 2014 dahulu sewaktu projek insinerator di Bukit Payung ingin dibina,” katanya ketika ditemui selepas Hari Terbuka Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di Dataran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Simpang Renggam, dekat sini, semalam.

Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, disebabkan projek di Bukit Payung tidak dilaksanakan maka wujudlah tapak pelupusan di Jalan Renggam.

“Kalau tapak pelupusan di Bukit Payung itu siap sudah pasti pusat pelupusan di Jalan Renggam akan ditutup dan tiada lagi pusat sampah pindah serta bawa masuk ke dalam kawasan Simpang Renggam.

“Pembangkang jangan salahkan siapa-siapa dan baik mereka sokong pembinaan pusat pelupusan sampah di Bukit Payung,” katanya.

Teck Meng berkata, dengan jawatankuasa ditubuhkan itu beliau akan memaklumkan kepada semua setiap perkembangan yang berlaku khususnya di laman sosial Facebook miliknya.

Leave a Reply