FAM Perlukan Perubahan Yang Besar – TMJ

 

JOHOR BAHRU, 4 APRIL – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa FAM perlukan satu perubahan yang besar untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola.

Baginda juga mengakui FAM masih berada di takuk yang lama kerana terdapat beberapa faktor yang menyekat kejayaan antaranya adalah corak pembelanjaan mereka dan disebabkan itu terdapat pelbagai kekurangan yang terpaksa dihadapi oleh pemain kebangsaan.

Perubahan adalah satu peluang untuk mengubah wajah bola sepak tempatan, bahkan ramai rakyat Malaysia telah menuntut pembaharuan dilakukan sejak 30 tahun yang lalu,

“Malaysia perlu berani untuk berubah, dan belajar untuk menerima perubahan dan permasalahan yang saya lihat ialah mereka tidak mahu mengambil risiko dan takut akan perubahan. Perubahan bukan sesuatu yang buruk, jika kita mahukan yang terbaik kita perlu mengambil peluang yang ada.

“Saya berani mengatakan, kami akan beri yang terbaik dan pasukan kebangsaan akan memberi seratus peratus persembahan tetapi saya tidak yakin pasukan Malaysia berjaya menentang Korea Utara, kita tidak bersedia dan kita hanya mempunyai masa sebulan.

“Pasukan Kebangsaan sudah terlalu lama tidur dan ianya jelas memerlukan masa yang lama untuk berjaya, tapi kami masih akan beri yang terbaik untuk capai sasaran dan sasaran itu adalah untuk mendapat kelayakan,” ujar baginda semasa temubual eksklusif bersama wakil Fox Sport Asia.

Perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara akan diadakan pada Jun ini.

Baginda juga berkata jika perubahan dilakukan sekarang tidak mustahil untuk Malaysia menempa nama di Piala Dunia pada tahun 2026 yang akan datang.

“Saya yakin dan itu adalah sasaran jangka masa panjang saya. Disebabkan itu, kita harus berusaha keras, mengubah mentaliti dan ubah struktur organisasi kebangsaan sekarang,” tambah baginda.

Leave a Reply