SPNB Sasar Bina 15,152 Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia Tahun Ini

SPNB Sasar Bina 15,152 Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia Tahun Ini

BATU PAHAT, 31 Mac — Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyasarkan untuk membina 15,152 unit Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di seluruh negara tahun ini, bagi mengurangkan tempoh menunggu pemohon.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali berkata sasaran awal pihaknya hanyalah 10,000 unit, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta tambahan lebih 5,000 unit lagi bagi membantu rakyat memiliki rumah impian mereka.

“Kita memang ada ramai pemohon yang layak tetapi ketika ini, kita sedang menunggu peruntukan daripada kerajaan. Tahun ini, sebanyak 7,595 unit RMR1M sedang dibina di seluruh negara.

“Berdasarkan statistik permohonan dari 2002 hingga 28 Feb tahun ini, sebanyak 86,327 permohonan telah diterima dan dinilai di seluruh negara di mana sebanyak 46,552 unit telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan Sijil Kelayakan Inden Kerja RMR1M peringkat Parlimen Parit Sulong yang disempurnakan Anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad, di sini hari ini.

Daripada 46,552 permohonan yang diluluskan itu, katanya, 37,315 unit telah disiapkan, 7,595 unit masih dalam proses pembinaan manakala 1,642 unit lagi dalam peringkat dokumen perjanjian.

Menurut Ahmad Azizi, sebanyak 28,268 permohonan telah ditolak manakala 11,507 permohonan pula masih dalam senarai menunggu sepanjang tempoh yang sama.

“Bagi tempoh yang sama, di Johor pula, sebanyak 11,326 permohonan telah diterima.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,276 permohonan diluluskan dengan 5,113 unit rumah telah siap dibina, 1,068 unit sedang dalam peringkat pembinaan manakala 95 lagi dalam peringkat dokumen perjanjian,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, 27 pemohon menerima Sijil Kelayakan Subsidi Pembinaan yang menjadikan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan Persekutuan adalah RM827,000 di Parlimen Parit Sulong.

Setiap pemohon yang layak akan menerima subsidi pembinaan berjumlah RM20,000 dengan dua peratus subsidi kadar faedah pinjaman berjumlah RM11,840 menjadikan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan Persekutuan sebanyak RM31,840 seunit.

“Jadi, jika nilai rumah tersebut adalah RM65,000, selepas mendapat subsidi, mereka hanya perlu membayar RM33,160 atau RM270 sebulan. Pakej ini hanya disediakan untuk golongan berpendapatan rendah dengan gaji di bawah RM3,000 tetapi mempunyai tanah sendiri,” kata Ahmad Azizi.

Leave a Reply