Bas Muafakat Diperluas Ke Seluruh Daerah

BAS MUAFAKAT DIPERLUAS KE SELURUH DAERAH

JOHOR BAHRU, 31 Mac – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata perkhidmatan bas percuma, Bas Muafakat Johor akan diperluaskan ke seluruh daerah di Johor, mulai 1 April ini.

Majlis pelancaran perluasan laluan perkhidmatan bas itu disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin semalam sempena lawatan kerja rasmi ke Parlimen Bakri.

Sebelum ini, laluan perkhidmatan bas tersebut hanya melalui 15 laluan di dalam Wilayah Iskandar Malaysia iaitu di bandar raya Johor Bahru, Johor Bahru Tengah, Pasir Gudang dan Kulai.

Terdapat pecahan bagi laluan baharu di luar Wilayah Iskandar Malaysia akan melibatkan 10 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu, tiga laluan di Muar dan Mersing, dua laluan di Batu Pahat, Kluang, Pontian, Segamat, Kota Tinggi dan Simpang Renggam dan satu laluan di Tangkak dan Yong Peng.

Sebanyak 80 buah Bas Muafakat Johor akan beroperasi di seluruh Johor pada tahun ini.

RM19.7 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri dan PBT bagi pelaksanaan itu.

“Perkhidmatan bas ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memberikan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma kepada warganegara Malaysia sahaja sekaligus membantu meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ia juga satu keperluan bagi mereka yang duduk di luar bandar untuk menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan mereka pergi ke pusat bandar,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Leave a Reply