Johor Bakal Perkenal Dasar Kelestarian Alam Sekitar Tahun Ini – Ayub

Johor Bakal Perkenal Dasar Kelestarian Alam Sekitar Tahun Ini – Ayub

JOHOR BAHRU, 30 Mac — Dasar Kelestarian Alam, yang bertujuan melindungi alam sekitar serta menjamin kelestarian alam di negeri ini, dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata dasar itu akan dilancarkan bersama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sempena Hari Exco Johor.

Menerusi dasar itu, rakyat akan diberikan kuasa dan tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan alam sekitar termasuk kebersihan sungai.

“Ketika ini, kita sedang berbincang mengenai cara untuk mengenakan caj kepada industri, ladang-ladang pertanian dan kawasan-kawasan perumahan yang membuang sampah merata-rata terutamanya yang membuang ke dalam sungai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Program Community in River’ (COIR) di Sungai Tebrau, dekat Kampung Bakar Batu, di sini hari ini.

Sehubungan itu, terdapat cadangan untuk menubuhkan Perbadanan Alam Sekitar, yang akan bertanggungjawab memantau serta mengenakan caj bagi setiap kawasan perumahan, industri, ladang yang menyebabkan pencemaran.

“Perkara ini penting, kerana kalau bukan kita yang jaga kebersihan sekeliling kita, siapa yang akan buat? Bagaimana kita hendak memastikan masa depan anak-anak kita bebas daripada pencemaran? Dan hasil caj pembuangan sampah itulah yang akan kita guna untuk kerja-kerja pembersihan nanti,” jelasnya.

Ayub berkata kerja-kerja pembersihan dan pemulihan mengambil masa yang sangat lama selain boleh menelan perbelanjaan yang banyak jika terus dibiarkan.

“Kita dapati punca selalunya datang dari segelintir masyarakat yang membuang sampah. Di Sungai Tebrau, misalnya, kita jangka kerja pemulihan akan mengambil masa yang lama kerana ia mempunyai banyak cabang sungai. Jadi sekarang kita sedang kenal pasti punca-punca sampah ini mengalir sebelum kita lakukan rawatan,” katanya.

Sementara itu, program COIR di Sungai Tebrau melibatkan aktiviti kemasyarakatan untuk membersihkan sungai. -Bernama

Leave a Reply