14 Individu, 646 Pertuduhan Ubah Wang Haram RM1.4b

14 Individu, 646 Pertuduhan Ubah Wang Haram RM1.4b

Oleh : Fatin Syahira

JOHOR BAHRU, 29 MAC – Sebanyak 14 individu dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 646 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram kira-kira RM1.4 bilion.

Mereka mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Ter Leong Jenn, 40, menghadapi 285 pertuduhan, Arus Md Salleh, 28, (135 pertuduhan), Ahmad Shah Mhd Shafie,36, (126 pertuduhan), Wong Shu Haw, 39; (68 pertuduhan), Muhammad Azuwan Ismail, 22, (enam pertuduhan) dan Noor Suhaily Harun, 27, (lima pertuduhan).

Naina Mohammad Abd Kadar, 41, dan Mohd Ali Jinnah,54, masing-masing menghadapi empat pertuduhan, Jihad Dudden Shaikh Ali Khan, 26; Sutanto Sanarja,49, dan Tajuddeen Abdul Rahim, 69, masing-masing menghadapi tiga pertuduhan, Muhammad Faizul Mohd Haniffa, 23, menghadapi dua pertuduhan manakala Luwi Poh Li, 38; dan Tay Kim Kee, 58, masing-masing satu pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan melupus, memiliki, menerima dan memindahkan wang haram bagi pihak seseorang pengirim asal kepada penerima di dalam atau luar negara.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 93 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) (Akta 613) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

Mahkamah menetapkan ikat jamin antara RM20,000 dan RM3 juta serta memerintahkan semua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin manakala kesemua tertuduh diwakili barisan peguam Mahendran Mahason, Rosli Kamaruddin, Shaikh Saleem SM Daud dan Pang Kong Seng.

Leave a Reply