Rakyat Johor Mahu Jawapan Permohonan E-Perumahan – Fadhil

Rakyat Johor Mahu Jawapan Permohonan E-Perumahan – Fadhil

Oleh: Raisha Ukasyah

KULAI, 27 Mac – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulai Fadhil Misnan berkata, transformasi pentadbiran yang dilakukan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamad Khalid Nordin dilihat demi kepentingan dan kebaikan rakyat negeri ini selain penambahaikan untuk setiap portfolio tersebut.

Jelas beliau, rakyat Johor khususnya Pemuda menyokong penuh setiap perubahan yang dilakukan oleh Menteri Besar.

Namun begitu, beliau melahirkan harapan agar setiap pemegang portfolio yang baru dapat melaksanakan tugas dengan baik terutamanya bagi portfolio pemangku Pengerusi Jawatankuasa Johor Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Saya berharap pemangku Datuk Md Jais Sarday dapat melaksanakan tugas baru ini dengan baik memandangkan jawatan ini kini dianggap ‘panas’.

“Saya juga mempunyai beberapa persoalan yang memerlukan jawapan agar Pemuda dapat memberi penerangan di peringkat akar umbi dengan lebih baik.

“Antaranya adalah berapa ramai yang telah mendaftar sebagai pemohon pembeli rumah dalam sistem E-perumahan Johor sejak ia diumumkan pada tahun 2013. Sejak tahun itu juga, berapa buah rumah mampu milik Johor yang telah siap dan bagaimana tebarannya di setiap daerah atau parlimen,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Selain itu, Jais juga perlu menerangkan jumlah yang berdaftar dengan E-perumahan yang telah ditawarkan (dikeluarkan sijil layak membeli rumah oleh suk perumahan Johor) Rumah RMMJ dan dari jumlah tersebut, berapa pula jumlah yang berjaya memiliki rumah dan berapa yang tidak berjaya.

“Kepada yang tidak berjaya apa pelan dan bantuan kerajaan negeri terhadap mereka serta bagaimana pula tindakan kerajaan negeri terhadap pemaju yang telah memberi komitmen tetapi akhirnya mengambil keputusan membatalkan atau menangguhkan pembinaan rumah2 mampu milik ini.

“Semua persoalan ini memang menjadi tandatanya ramai rakyat Johor. Oleh itu saya amat berharap agar beliau dapat memberikan jawapan kepada mereka yang terlibat,” ulasnya lagi.

Leave a Reply