“Hadiah Istimewa” Untuk Rakyat Johor

“Hadiah Istimewa” Untuk Rakyat Johor

Oleh : Fatin Syahira

JOHOR BAHRU, 20 MAC 2017 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengumumkan satu ‘hadiah istimewa’ buat rakyat negeri Johor sempena Hari Keputeraan Baginda.

Baginda bertitah hadiah yang dimaksudkan adalah satu skim perumahan mampu milik untuk ‘Bangsa Johor’ di Bandar Dato’ Onn di sini.

“Saya tidak mahu dedahkan terlalu banyak informasi sekarang, rakyat dialu-alukan hadir ke Galleria di Plaza Kotaraya pada hari Rabu (22 Mac) ini untuk majlis pelancaran projek yang menarik ini,” titah Sultan Johor dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah projek hakmilik bebas unik ini akan dibangunkan di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim dengan kerjasama Bank Rakyat, menawarkan konsep hartanah kediaman yang berlainan, rumah kedai dan lain-lain unit komersil.

“Saya mahu Bangsa Johor menjadi sebuah komuniti yang memiliki rumah. Saya mahu skim perumahan yang pertama seumpamanya ini benar-benar mampu dimiliki, murah dan berkualiti tinggi.

“Bayangkan memiliki sebuah bungalow tiga bilik atau rumah berkembar dengan harga bawah RM100,000 seunit. Ia dibuka kepada semua Bangsa Johor yang layak.

“Akan tetapi proses pemilihan adalah amat ketat dan teliti. Pemohon yang berjaya hanya perlu membayar RM1 sebagai deposit dan mereka akan ditawarkan pinjaman penuh dengan skim pembayaran semula yang mudah,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda menjangkakan projek unik ini mampu membuat kejutan dalam industri perumahan tempatan, seterusnya memaksa pemaju swasta menurunkan harga rumah. “Kita mesti memastikan rumah mampu dimiliki oleh semua. Harga sekarang adalah di luar jangkauan mereka yang berpendapatan sederhana,” titahnya.

One Response to "“Hadiah Istimewa” Untuk Rakyat Johor"

  1. Azizah Epon   22 Mar 2017 at 9:25 pm

    harap rumah impian johor dari Sultan Johor dpt dteruskn mmandangkan smbutn mgalakan..

    Reply

Leave a Reply