Oleh: Z. Azrai
Segamat, 20 MAC – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin meneruskan siri lawatan kerja beliau ke Parlimen Sekijang hari ini.
Ia merupakan kawasan Parlimen ke-17 dalam siri lawatan kerja yang diadakan sejak Januari lalu, sebanyak 16 kawasan Parlimen telah dilawati iaitu Johor Bahru, Kulai, Kluang, Parit Sulong, Muar, Labis, Tangkak, Pagoh, Sembrong, Gelang Patah, Segamat, Tanjung Piai, Tebrau, Tenggara, Simpang Renggam dan Pengerang.
Dalam lawatan sehari ini, Mohamed Khaled dijadualkan melawat Tapak Cadangan Program Agro Mix Farm (Kebun Nukleus) di Pemanis.
Beliau juga akan merasmikan Projek Pembinaan Gerai Bumiputera di Bandar IOI dan seterusnya melawat Tapak Projek Pembangunan Kompleks Sukan Segamat.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap, Pengerusi Penerangan, Pendidikan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat, ADUN Tenang, Azhar Ibrahim dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad.




