Tahap Kesedaran Masyarakat Mengenai Kebersihan Sungai Masih Rendah

Tahap Kesedaran Masyarakat Mengenai Kebersihan Sungai Masih Rendah

JOHOR BAHRU, 16 Mac  — Tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai masih lagi rendah yang akhirnya menjadi punca kepada pencemaran sungai di sekitar kawasan Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata pelbagai program kesedaran dilaksanakan kerajaan dalam mendidik masyarakat melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat.

“Baru-baru ini, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melancarkan ‘Program Community in River (COIR)’ peringkat Johor 2017 di Sungai Kapeh, Segamat yang bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga sungai dan persekitarannya.

“Faktor utama mesti ditekankan adalah kesedaran masyarakat kerana kalau mereka mempunyai kesedaran, pencemaran tidak akan berlaku. Kita juga melaksanakan program kesedaran kepada nelayan dan penduduk tinggal berhampiran kawasan sungai bagi memastikan perkara ini dapat dibendung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Sungai Tebrau, di sini hari ini.

Ayub berkata kerajaan negeri sedang menunggu hasil laporan daripada Pelan Induk Sungai Tebrau-Sungai Plentong bagi mengenal pasti langkah terbaik mengatasi masalah pencemaran di Sungai Tebrau yang mendapat perhatian daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar baru-baru ini.

“Kerajaan negeri menjunjung kasih di atas keprihatinan dan titah Sultan Ibrahim mengenai Sungai Tebrau, baru-baru ini, dan semalam, saya telahpun membentangkan laporan berkaitan sungai berkenaan dalam mesyuarat Exco.

“Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengarahkan saya, bersama-sama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta JPS sebagai urusetia sekretariat untuk melaksanakan Operasi Bersepadu melibatkan pelbagai jabatan,” katanya.

Datuk Bandar Johor Bahru A. Rahim Nin pula berkata sampah-sampah terkumpul di Sungai Tebrau berpunca daripada tindakan orang ramai membuang sampah ke dalam anak-anak sungai dan parit yang kemudian mengalir ke Sungai Tebrau.

“MBJB akan mengambil langkah memasang perangkap sampah untuk menghalang sampah masuk ke Sungai Tebrau di setiap cabang sungai ini,” katanya.

Beliau berkata sungai sepanjang 32 kilometer itu mengalir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kempas, Bandar Dato Onn, Kampung Bakar Batu dan kemudian mengalir ke Selat Johor.

“Pihak MBJB ada menjalankan aktiviti-aktiviti pembersihan setiap bulan di lapan batang anak sungai yang mengalir ke Sungai Tebrau dengan kos pembersihan menelan belanja RM90,000 sebulan.

“Terdapat empat kawasan setinggan dikenal pasti di sepanjang Sungai Tebrau terletak di Kampung Melayu Pandan, Sungai Sebulong, Kangkar Tebrau dan kawasan Kempas yang kita jangka turut menyumbang kepada pencemaran ini,” katanya.

Dua hari lalu (14 Mac), Sultan Johor membuat lawatan mengejut menggunakan bot untuk melihat sendiri pencemaran di Sungai Tebrau.

Menerusi satu status yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kesal dengan pembuangan sampah dan pencemaran yang berlaku di sungai berkenaan.

Baginda kemudian menitahkan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuang sampah dan mencemarkan sungai untuk mengelakkan banjir. – Bernama

Leave a Reply