Peruntukan RM28 Juta Untuk Pembangunan Simpang Renggam

Peruntukan RM28 Juta Untuk Pembangunan Simpang Renggam

Oleh : Fatin Syahira

SIMPANG RENGGAM, 15 MAC – Sejumlah RM28 juta peruntukan pembangunan untuk Parlimen Simpang Renggam telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri ketika Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan sehari ke sana semalam.

Menteri Besar Johor berkata daripada RM28 juta itu, sebanyak RM18.781 juta disalurkan bagi pelbagai projek penyelenggaraan jalan kampung, jalan negeri dan jalan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebanyak RM3.8 juta pula diperuntukkan bagi Projek Perumahan Rumah Transit Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) manakala RM4 juta bagi projek sambungan air kampung tersusun di Kampung Paya, Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukkan berjumlah RM111,000 untuk menaiktaraf Sekolah Agama Rakyat (SAR) Sri Maju Jaya dan Sri Machap,” Khaled Nordin berkata.

Seramai 246 penduduk kampung dari Kampung Sri Pekan, Kampung Jaya Sepakat Dan Felcra Simpang Renggam 2 telah menerima geran hak milik tanah masing-masing yang disampaikan oleh beliau ketika Majlis Penyerahan Hak Milik Parlimen Simpang Renggam.

Bagi membina gerai buah-buahan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), peruntukan sebanyak RM500,000 telah disediakan.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukan sebanyak RM193,000 untuk baik pulih masjid dan surau-surau di kawasan parlimen Simpang Renggam, manakala RM420,000 untuk tapak ganti kuil penganut Dewa Sri Maha Mariaman Simpang Renggam. Kerajaan Negeri juga telah memberi kelulusan bagi tapak rumah berhala penganut agama Budha Tien Hock Kong.

Leave a Reply