Parlimen Simpang Renggam Terima Peruntukan Pembangunan RM28 Juta

Parlimen Simpang Renggam Terima Peruntukan Pembangunan RM28 Juta

KLUANG, 14 Mac — Kerajaan negeri memperuntukkan RM28 juta bagi membangunkan beberapa kawasan dalam Parlimen Simpang Renggam, dekat sini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan tersebut merupakan langkah proaktif pihaknya dalam menaik taraf kehidupan rakyat di kawasan itu.

Menurutnya, daripada keseluruhan peruntukan, RM18.78 juta disalurkan untuk pelbagai projek penyelenggaraan jalan kampung, jalan negeri dan jalan seliaan pihak berkuasa tempatan.

Sebanyak RM3.8 juta pula diperuntukkan untuk Projek Rumah Transit Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) manakala RM4 juta bagi projek sambungan air kampung tersusun di Kampung Paya.

“Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan RM111,000 untuk menaik taraf Sekolah Agama Rakyat (SAR) Sri Maju Jaya dan Sri Machap,” katanya pada majlis penyerahan geran hak milik tanah di Dewan Majlis Daerah Simpang Renggam sempena lawatan kerja sehari ke Parlimen berkenaan, di sini hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, peruntukan selebihnya digunakan untuk membina gerai buah-buahan Majlis Daerah Simpang Renggam (RM500,000), membaik pulih masjid dan surau sedia ada (RM193,000) dan menyediakan tapak ganti kuil penganut Dewa Sri Maha Mariaman Simpang Renggam (RM420,000).

Selain itu, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membina sebuah kompleks penghulu, sebuah sekolah agama dan sebuah masjid pada tahun hadapan tetapi peruntukan belum dimuktamadkan.

Pada majlis tersebut, seramai 246 penduduk dari tiga kampung iaitu Kampung Sri Pekan, Kampung Jaya Sepakat dan Felcra Simpang Renggam 2 menerima geran hak milik tanah masing-masing. -Bernama

Leave a Reply