Skandal Rasuah, Seleweng Hartanah Disiasat SPRM Di Johor Tidak Akan Gugat Kedudukan BN – Shahrir

Skandal Rasuah, Seleweng Hartanah Disiasat SPRM Di Johor Tidak Akan Gugat Kedudukan BN – Shahrir

JOHOR BAHRU, 11 Mac — Skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak akan menggugat imej dan kedudukan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata ini kerana siasatan SPRM berhubung skandal itu hanya melibatkan individu dan bukan membabitkan parti politik diwakili mereka.

Shahrir berkata siasatan itu sekali gus dapat membersihkan imej kerajaan daripada pelbagai tohmahan buruk mengenai integriti pentadbiran dan pemerintahan.

“Tindakan yang diambil hanya kepada mereka yang terlibat dengan perbuatan yang boleh menjejaskan imej dan integriti pentadbiran. Jadi, bila kita ambil tindakan itu, tidak bermakna bahawa imej kita (BN) pula terjejas.

“Kita lihat, ini tindakan daripada kerajaan sendiri untuk membersihkan diri kita (BN) dan kerajaan dari segi tuduhan dan sangkaan buruk mengenai integriti,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tebrau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sejauh mana skandal rasuah dan penyelewangan hartanah di negeri ini boleh menggugat pengundi BN.

Anggota Parlimen Johor Bahru itu berkata semua pihak seharusnya menyokong tindakan berkenaan kerana pihak pemerintah berani dan bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap anggotanya.

Semalam, seorang anggota Exco kerajaan Johor dibenarkan direman selama seminggu sehingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan SPRM berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Sebelum ini, SPRM menahan enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas Exco itu pada 24 Feb dan menahan seorang kontraktor lelaki pada 28 Feb setelah dipercayai terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah.

Tiga daripada tujuh individu, iaitu dua pemaju dan seorang kontraktor, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 3 dan 7 Mac lepas, sementara empat yang lain dibebaskan dengan jaminan SPRM, dua hari lepas.

Dalam perkembangan lain, Shahrir yang juga Pengerusi Felda menyifatkan tindakan Pakatan Harapan untuk menganjurkan Konvensyen Felda pada 19 Mac ini, di Shah Alam, Selangor, hanya bermotifkan agenda politik yang ingin menghasut rakyat khususnya peneroka bagi membenci kerajaan.

Beliau berkata pihak berkenaan seharusnya tidak perlu merumitkan keadaan sebaliknya membantu menyelesaikan masalah yang sedia wujud.

“Kalau menghasut dengan merumitkan keadaan, itu tidak akan menaikkan harga getah atau sawit,” katanya.       -Bernama

Leave a Reply