ADUN Pekan Nenas Di Arah Keluar Dewan

ADUN Pekan Nenas Di Arah Keluar Dewan

ISKANDAR PUTERI, 9 MAC – Dewan Negeri Johor hari ini menolak usul yang dikemukakan oleh Adun Pekan Nenas YB Yeo Tung Siong, untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Terpilih Pemantau Siasatan bagi memantau dan menyiasat berhubung isu rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Speaker Dewan, Tan Sri Mohamad Aziz menolak usul yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong (DAP) kerana menegaskan kes tersebut masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ia berkait dengan Peraturan Tetap Bilangan 45(7) yang mana perkara yang diusulkan oleh YB Pekan Nanas itu masih berada dalam timbangan undang-undang dan tidak boleh sekali-kali disebut, kita juga sedia maklum siasatan sedang dijalankan oleh SPRM dan Kerajaan Negeri telah memberi jaminan bahawa kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada SPRM,” tegas beliau.

Keputusan penolakan tersebut menyebabkan dewan menjadi kecoh hampir 15 minit setelah Tung Siong dan ADUN pembangkang lain terus mendesak agar usul tersebut diterima dan atas kedegilan Tung Siong beliau diarah keluar oleh Speaker Dewan Negeri.

“Tung Siong tidak dapat mengawal diri dan melanggar perkara-perkara yang mengganggu perjalanan persidangan dewan, malah, apa yang dibawa olehnya adalah bercanggah dengan apa yang kita mahu bahaskan kerana semua ahli dewan maklum dengan peraturan tersebut,” ujar Speaker Dewan.

Tan Sri Mohamad juga berkata selepas tamat persidangan berkenaan, arahan untuk ADUN Pekan Nenas keluar dewan adalah perkara biasa.

Keputusan itu terpaksa diambil mengikut peraturan 50 Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Negeri Johor yang mana hendaklah diperintahkan keluar dengan serta-merta dari Dewan Negeri ekoran mengganggu perjalanan dewan.

Tambahnya lagi, tindakan Tung Siong meninggikan suara adalah semata-mata untuk menarik perhatian.

Leave a Reply