Perlantikan Satu Amanah Besar & Saya Akan Usaha Jalankan Tugas Sebaik Mungkin – Jais

Perlantikan Satu Amanah Besar & Saya Akan Usaha Jalankan Tugas Sebaik Mungkin – Jais

JOHOR BAHRU, 8 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Datuk Md Jais Sarday hari ini menganggap perlantikannya untuk memangku jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkuatkuasa Ahad ini sebagai satu tanggungjawab besar dan akan berusaha menjalankan tugas sebaik mungkin.

“Saya ingin mengambil kesempatan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan untuk memikul tanggungjawab ini. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, atas kepercayaan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai bahagian perumahan dan kerajaan tempatan bagi memperhalusi kembali proses dan prosedur sedia ada di bahagian berkenaan.

Md Jais yang akan memangku jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkuatkuasa Ahad ini berkata beliau akan mencadangkan amalan terbaik tadbir urus yang boleh memantapkan integriti dan ketelusan kerajaan negeri.

“Saya akan memberikan sepenuh komitmen untuk memahami dan mendalami portfolio baharu ini. Sebagai permulaan, saya akan melakukan dengan segera perjumpaan dengan pegawai-pegawai bahagian perumahan dan kerajaan tempatan bagi mendapat kerjasama mereka.

Saya akan berusaha untuk mengkaji dan memperhalusi kembali proses dan prosedur sedia ada dan mencadangkan amalan terbaik tadbir urus yang boleh memantapkan integriti dan ketelusan kerajaan negeri, khususnya Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” tambahnya.

Terdahulu, Mohamed Khaled menerusi kenyataan hari ini mengumumkan portfolio Pendidikan dan Penerangan, yang disandang oleh Md Jais akan diletakkan di bawah seliaan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed pula akan memikul portfolio Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi.

Pengalihan dan perubahan bagi ketiga-tiga Pengerusi Jawatankuasa itu berkuatkuasa mulai Ahad, 12 Mac ini, serta akan menjadi tambahan kepada portfolio semasa yang dipegang oleh Ayub dan Ismail.

Penyusunan semula itu juga adalah bagi satu tempoh sehingga selesainya segala proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kes melibatkan anggota keluarga dan pegawai khas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi.

Abd Latif kini bercuti dari tugas rasmi kerajaan negeri Johor sehingga siasatan tersebut selesai.

Leave a Reply