Pembangkang Ketandusan Idea Tuduh Malaysia Bankrap

Pembangkang Ketandusan Idea Tuduh Malaysia Bankrap

KUALA LUMPUR, 7 Mac — Pembangkang semakin ketandusan idea apabila berterusan melemparkan tuduhan kononnya Malaysia sebuah negara gagal sedangkan fakta ekonomi menunjukkan sebaliknya.

Anggota Parlimen Simpang Renggam Datuk Liang Teck Meng berkata pembangkang menyebarkan dakyah bahawa Malaysia akan bankrap selain menuduh kerajaan menjual negara kepada China apabila negara itu membuat pelaburan besar di negara ini.

“Sedangkan, hakikatnya, kedudukan ekonomi negara adalah kukuh berikutan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin meningkat sehingga 4.5 peratus pada suku keempat tahun lalu.

“Pelaburan Langsung Asing (FDI) juga mencatatkan jumlah sebanyak RM207.9 bilion iaitu peningkatan 11 peratus berbanding tahun 2015,” katanya ketika mencadangkan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong  pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Liang berkata eksport negara pula merekodkan peningkatan sehingga 13.6 peratus pada Januari lalu selain sektor pelancongan meningkat sebanyak 18.8 peratus daripada RM69.1 bilion pada tahun 2015 kepada RM82.1 bilion pada tahun 2016.

Selain itu, katanya, nisbah hutang negara berbanding KDNK bertambah baik dari 54.5 peratus, turun kepada 52.7 peratus pada akhir tahun 2016.

“Ini jelas membuktikan bahawa ekonomi negara bukan seperti yang diuar-uarkan pembangkang kononnya negara kita bakal bankrap dan menghadapi krisis ekonomi yang tenat,” tegasnya.

Liang menarik perhatian bahawa Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan telah berjaya mencipta 2.94 juta peluang pekerjaan dan meningkatkan RM36,299 pendapatan per kapita dan sekali gus meningkatkan pelaburan swasta kepada RM114.8 bilion.

“Malangnya, pembangkang tidak pernah menyampaikan maklumat dan pencapaian kerajaan, sebaliknya menyebarkan propaganda mereka yang hanya bermatlamatkan untuk memburukkan imej negara,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bagaimana usaha pembangkang cuba mensabotaj projek yang dirancang kerajaan seperti projek Pengerang apabila mereka sanggup pergi ke Taiwan untuk menjalankan protes projek berkenaan pada tahun 2012.

Katanya perkara itu terbukti apabila sebulan selepas mereka membuat protes itu, syarikat Kuokuang Petrochemical Technology menarik diri daripada projek tersebut dan menyebabkan kerugian sebanyak RM35 bilion kepada negara.

“Pembangkang juga menakut-nakutkan rakyat kononnya sebanyak 700,000 rakyat dari China akan menetap di Forest City setelah ia dibina. Perkara ini mencetuskan kemarahan China sehingga dikeluarkan amaran kepada pihak terbabit untuk tidak membuat fitnah, jika tidak, mereka akan menarik balik pelaburannya di Forest City. Inilah yang saya katakan sabotaj ekonomi negara oleh pihak pembangkang,” katanya.

Liang berkata kerajaan mengambil inisiatif meningkatkan pendapatan dan pada sama meningkatkan taraf hidup rakyat.

Kerajaan Barisan Nasional, katanya, telah menyasarkan bantuan khusus kepada golongan M40 dan B40 dengan program-program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), bantuan awal persekolahan 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Taska 1Malaysia dan Dasar 1 Negara 1
Harga.

“Menurut kajian Khazanah Research Institute, pendapatan B40 meningkat daripada 14.8 peratus kepada 16.8 peratus dalam tempoh 2012 hingga 2014 manakala bagi M40, ia meningkat dari 36.6 peratus kepada 36.9 peratus bagi tempoh yang sama,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok.

Leave a Reply