“Sejak Bila Kita Tidak Boleh Berkawan” – Razali

“Sejak Bila Kita Tidak Boleh Berkawan” – Razali

MUAR: Laporan yang mendakwa Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang semakin membabitkan diri dalam politik tempatan berikutan hubungan rapat kedua-dua negara adalah tidak benar dan berasas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata menjadi amalan Malaysia untuk berbaik-baik dengan semua negara yang mempunyai hubungan diplomatik bagi kepentingan kedua-dua negara.

“Sejak bila pula kita dididik berkawan ini menjadi satu kesalahan. Hari ini, ada pula pihak yang cuba menimbulkan perasaan syak wasangka atau tidak mempercayai antara satu sama lain.

“Benda yang baik adalah berkawan dan untuk berkawan itu kita perlu mengenalinya. Salahkah jika beliau datang untuk melihat kehidupan kita di Malaysia dan beliau sering memuji cara kehidupan kita di sini, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pengagihan Pelan Data Guru dan Peranti YES 4G di Bangunan UMNO Bahagian Muar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan dan Pengarah YES Communication Sdn Bhd, Shahirul Amran. Sebelum ini, ada laporan memetik seorang bekas diplomat Malaysia Huikang semakin membabitkan diri dalam politik tempatan sekali gus boleh memberi kesan terhadap kedaulatan negara.

-BeritaHarian

Leave a Reply