Persoal MB Johor Perlu Bercuti Atau Tidak, Ibarat Tepuk Air Dalam Dulang Terkena Muka Sendiri

Persoal MB Johor Perlu Bercuti Atau Tidak, Ibarat Tepuk Air Dalam Dulang Terkena Muka Sendiri

TENGGARA, 6 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor Hahasrin Hashim berkata, Penasihat Dap Lim Kit Siang perlu berhenti menjadi populis dan mengamalkan sikap pilih bulu kerana rakyat sudah muak dengan taktik politik sebegini.

Jelasnya, kenyataan Kit Siang yang mempersoalkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin patut bercuti sepanjang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal penukaran status hartanah bumiputera di negeri itu ibarat nampak kuman di seberang tetapi gajah di depan mata tidak nampak.

“Tidak perlulah saya jelaskan secara terperinci mengapa Kit Siang perlu cermin diri sendiri sebelum mempersoalkan Menteri Besar patut cuti atau tidak.

“Kit Siang juga sepatutnya berasa malu kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana bila dia mempersoalkan soal patut cuti atau tidak, ibarat menepuk air di dulang terkena muka sendiri,” katanya kepada UMNOJohor.

Tambah Hahasrin, sebenarnya memang sudah menjadi sikap pembangkang yang suka mengambil kesempatan jika timbul sebarang isu yang dilihat boleh digunakan untuk memperbodohkan rakyat sehingga terlupa akan skandal yang melanda parti sendiri.

“Isu penukaran status tanah kuota bumiputera ini perlu difahami sepenuhnya oleh Kit Siang sebelum mengeluarkan kenyataan tidak realistik.

“Bagi saya, rakyat perlu melihat dan menilai bagaimana hipokritnya pembangkang ini… kononnya memperjuangkan ketelusan dan integriti tetapi sebenarnya mereka hanya bermain sandiwara apatahlagi pilihan raya umum sudah semakin hampir,” katanya lagi.

 

Oleh: Raisha Ukasyah

Leave a Reply