Johor Bakal Miliki Laluan Baharu Ke Tanjung Bin, Pontian

Johor Bakal Miliki Laluan Baharu Ke Tanjung Bin, Pontian

PONTIAN, 5 Mac — Perjalanan dari Tanjung Pelepas di Gelang Patah, Johor Bahru ke Tanjung Bin di Serkat, Pontian dijangka lebih singkat dengan pembinaan jambatan dan satu jalan baharu menghubungkan kedua-dua kawasan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek yang menelan kos keseluruhan RM650 juta itu, sebahagian besarnya dibiayai oleh kerajaan persekutuan manakala selebihnya oleh anak syarikat MMC Corporation Bhd, Seaport Worlwide Sdn Bhd.

Pada ketika ini, reka bentuk jambatan sedang dikemaskini sebelum diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya negeri.

Pengeluaran tender pula dijangka pada April bagi membolehkan pembinaannya berjalan mulai September ini.

“Projek yang merentasi Sungai Pulai ini mempunyai jarak kira-kira 7.5 kilometer (km) dan akan memendekkan perjalanan dari Johor Bahru ke Tanjung Bin kepada 15km berbanding 50km pada masa ini jika menggunakan jalan alternatif Pekan Nenas.

“Ia juga dijangka siap menjelang Ogos 2020,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Parlimen Tanjung Piai di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pembangunan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohamad dan Penolong Pengurus Besar Bahagian Pembinaan dan Projek Pengurusan Kejuruteraan MMC Amir Malik Faeiz Rusdi Redza Ali Faeiz.

Mohamed Khaled berkata beliau optimis projek itu akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk memandangkan lebih banyak sektor pembangunan bakal diusahakan.

“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri juga mempertimbang permohonan daripada penduduk setempat untuk mendapatkan rumah mampu milik.

“Oleh itu, kita akan membeli sebidang tanah seluas 12.14 hektar di kawasan Jeram Batu (Tanjung Piai) menggunakan dana daripada Tabung Hartanah Bumiputera untuk melaksanakannya, sekali gus memastikan kawasan ini berkembang secara seimbang,” katanya.

Leave a Reply