Kit Siang Jangan Eksploitasi Isu, Faham Perbezaan Antara Tanah Dan Hartanah – Jais

Kit Siang Jangan Eksploitasi Isu, Faham Perbezaan Antara Tanah Dan Hartanah – Jais

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Md Jais Sarday membidas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyarankan agar Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin bercuti berkaitan isu penukaran status hartanah bumiputera kerana ia sama sekali tidak berkaitan dengan Menteri Besar.

Jelasnya, Kit Siang sebenarnya hanya mahu mengelirukan rakyat dan mempunyai kepentingan politik kerana pembangkang  berhasrat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk merampas negeri Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

“Saranan Kit Siang agar Menteri Besar bercuti sepanjang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal penukaran status HARTANAH Bumiputera di negeri itu adalah tidak wajar sama sekali kerana perkara ini langsung tidak ada kaitan dengan Menteri Besar.

Kit Siang sebenarnya tidak faham isu ini tetapi cuba hendak eksplotasikan perkara ini bagi tujuan mengelirukan rakyat dan merosakkan nama baik Menteri Besar.

Saya menyarankan agar Kit Siang belajar dan fahami dahulu perbezaan antara tanah (land) dengan hartanah (properties) sebelum cuba merendah-rendahkan kredibiliti Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khalid Nordin.

Sebagai seorang Menteri Besar negeri ini yang berintegriti, Dato’ Mohamed Khaled telahpun menjawab dan memberi penerangan secara jelas berkaitan salah faham penukaran status tanah kuota bumiputera di negeri ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, dasar yang membenarkan pelepasan atau pertukaran status hartanah rumah bumiputera kepada status awam sama sekali tidak melibatkan rumah kos rendah dan mampu milik.

Penukaran status ini adalah untuk kuota bumiputera yang melibatkan rumah-rumah mewah dan bukan dalam kategori Rumah Mampu Milik Johor.

“Perkara ini memang amalan kerajaan negeri bukan sahaja di negeri Johor malah di kesemua kerajaan negeri.

Kita kenalah adil kepada pihak pemaju juga. Pemaju boleh memohon untuk menukar status hartanah selepas melepasi tempoh dan syarat tertentu termasuk promosi pengiklanan melalui suratkhabar bagi mengelakkan lambakan rumah mewah yang tidak terjual kepada bumiputera, jika tidak pemaju akan menanggung rugi.

Jadi sebelum Kit Siang mahu menyerang Menteri Besar adalah lebih baik dia faham perkara ini terlebih dahulu,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang.

Leave a Reply