KPI PBT Johor Perlu Belanja 40 Peratus Hasil Demi Pembangunan – MB

KPI PBT Johor Perlu Belanja 40 Peratus Hasil Demi Pembangunan – MB

KPI PBT Johor Perlu Belanja 40 Peratus Hasil Demi Pembangunan – MB

JOHOR BAHRU, 26 Feb — Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor dikehendaki mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu membelanjakan 40 peratus daripada hasil pendapatan adalah demi untuk pembangunan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata penetapan KPI itu telah dimaklumkan oleh beliau pada perjumpaan dengan semua Yang Dipertua PBT pada tahun lepas.

Katanya, rasional memperkenalkan KPI itu bagi membolehkan hasil PBT digunakan sebaiknya untuk pelaksanaan program dan projek yang memenuhi kehendak masyarakat, selain dapat mengurangkan perbelanjaan terhadap pengurusan dan operasi semata-mata.

“Banyak mana pun hasil tetapi kalau sudah terlalu banyak dibelanjakan terhadap pengurusan (operasi), ia masih tidak membawa apa-apa makna kerana tiada pembangunan untuk masyarakat.

“Apatah lagi, dalam sesebuah kawasan, penduduknya mesti memerlukan dewan dan pelbagai kemudahan. Jadi, saya telah minta mereka (PBT) telus agar rakyat boleh menilai. Kalau tidak, kita tidak tahu apa yang dibelanjakan dengan hasil mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah 2017 di Pasir Gudang, di sini, Ahad.

Mohamed Khaled berkata setakat yang diketahuinya hanya sebuah PBT telah mencapai KPI berkenaan iaitu Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPBJT).

“Tetapi pada keseluruhannya, semua PBT sudah mula untuk mengorak langkah bagi meningkatkan perbelanjaan terhadap pembangunan.

“Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang boleh dianggap baru berbanding PBT lain telah mencapai 30 peratus perbelanjaan dan sedang tingkatkan sedikit demi sedikit,” katanya.

Sementara itu, katanya program bantuan subsidi tambang bas sekolah yang dimulakan sejak tahun lepas itu memanfaatkan seramai 267 pelajar sekolah menengah dan 133 pelajar sekolah rendah bagi fasa pertama pelaksanaannya tahun ini melibatkan kos RM73,824.

Beliau berkata fasa kedua dan ketiga akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan dahulu permasalahan lokaliti setiap penerima khususnya ibu bapa pelajar.

“Bantuan sebegini adalah lebih baik berbanding memberi baju dan kasut sekolah setibanya musim perayaan. Ini kerana melaluinya, pihak Yayasan Pasir Gudang membantu menampung sebahagian daripada kos sebenar bayaran pengangkutan pelajar ke sekolah manakala sebahagian lagi dibayar oleh keluarga terlibat,” katanya.

Leave a Reply